PAS mahu anjur persidangan pertahan Bahasa Melayu

HARAKAHDAILY | .

PAS MAHU ANJURKAN PERSIDANGAN PERTUBUHAN MELAYU UNTUK PERTAHAN BAHASA (13 OGOS 1955)

PADA hari ini dalam tahun 1955, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengambil satu ketetapan terhadap tuntutan golongan ultra Cina dengan cadangan menganjurkan satu persidangan pertubuhan-pertubuhan Melayu bagi mempertahankan kedudukan bahasa Melayu.

Persidangan ini bertujuan untuk membincangkan isu tuntutan persatuan-persatuan Cina dan merangka memorandum kepada kerajaan untuk mempertahankan kedudukan bahasa Melayu. PAS melihat tindakan yang dibuat oleh golongan ultra Cina ini telah mengancam kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa peribumi, sedangkan orang-orang Melayu sedang berusaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Perjuangan PAS terhadap hak orang Melayu telah tergambar daripada tuntutan PAS dalam National Convention pada 11 Oktober 1953, di mana PAS menuntut supaya bahasa Melayu menjadi bahasa pertama dalam Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan.

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga pada 12-14 Ogos 1954, PAS telah mengambil keputusan supaya Melayu dijadikan bahasa pertama dalam pentadbiran kerajaan, sedangkan Kongres Pemuda Melayu yang turut disertai pimpinan PAS pada 10 April 1955 telah mengambil ikrar "Satu Bahasa, Satu Negara dan Satu Kebangsaan Melayu."

Sumbangan PAS terhadap perjuangan memartabatkan bahasa Melayu ini turut diperakui oleh Dr Burhanuddin al-Helmy sebelum beliau menyertai PAS. Dalam Kongres Parti Rakyat pada 24 Disember 1955, Dr Burhanuddin menyifatkan "PAS pun bekerja keras" untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Isu bahasa Melayu ini timbul kerana tindakan 144 buah persatuan orang Cina di Perak yang mengemukakan satu tuntutan kepada kerajaan supaya bahasa Cina dijadikan bahasa rasmi dan ia digunakan di Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan.

Desakan orang Cina ini mempunyai kaitan dengan peranan mereka dalam memenangkan calon-calon Umno dalam Pilihan Raya Umum 1955. Pertama, orang Cina telah memberi bantuan kewangan kepada Umno menerusi MCA untuk membiayai jentera pilihan raya mereka, dan kedua, orang Cina telah mengundi Perikatan dalam pilihan raya tersebut.

Atas asas ini orang Cina mahu mereka diberikan hak sama rata termasuk soal kerakyatan dan bahasa Cina. Selain 144 buah persatuan Cina di Perak yang membuat tuntutan, Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Seluruh Malaya pada 14 Ogos 1955 juga bertindak menuntut supaya bahasa Cina dijadikan bahasa rasmi di samping bahasa Melayu dan Inggeris.

Tindakan golongan ultra Cina ini telah mendapat respon negatif daripada PAS Kelantan pada 9 Ogos 1955, yang memaksa Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang bersidang pada 12-13 Ogos 1955 memutuskan untuk menganjurkan persidangan pertubuhan Melayu.

Persidangan yang turut dihadiri oleh parti politik, NGO dan badan persuratan Melayu telah dianjurkan oleh PAS pada 28 Ogos 1955. Persidangan ini dihadiri oleh 16 buah pertubuhan dan 500 pemerhati di mana Ahli Majlis Undangan Persekutuan, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin telah memberikan taklimat tentang isu kedaulatan bahasa Melayu serta kepentingan bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Beliau turut menyentuh soal tuntutan orang Cina supaya bahasa Cina dan Tamil turut digunakan di Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan.

Persidangan pada 28 Ogos 1955 yang dianjurkan oleh PAS telah menerima cadangan Kesatuan Persekutuan Guru-guru Melayu Semenanjung (KPGMS) iaitu:

I. Melantik sebuah Jawatankuasa Bebas untuk menyusun memorandum kepada Raja-raja Melayu, Ketua Menteri, Menteri Pelajaran dan Pesuruhjaya Tinggi British; dan
II. Bertemu dengan Ketua Menteri dan Menteri Pelajaran dalam soal ini.

Jawatankuasa Bebas ini terdiri daripada Cikgu Mohd Nor Ahmad (KPGMS) sebagai Pengerusi, Basir Udoh sebagai Setiausaha, Cikgu Ahmad Awang (PAS) sebagai Bendahari, Cikgu Harun Mohd Amin (Kongres Pemuda Melayu), Mohd Asri Haji Muda (PAS), Haji Azmir (Lembaga Pembangunan Sastera - LEPAS), Abdul Ghani Ishak (Lembaga Pelajaran Kebangsaan Malaya) dan Amin ar-Rahim (Asas Utama) sebagai ahli-ahli.

Mereka telah mengemukakan memorandum kepada kerajaan. Satu badan yang sependapat dengan PAS dalam soal ini ialah Kongres Pelajaran Melayu Malaya pimpinan Aminuddin Baki yang bersidang pada 15 Ogos 1956.

MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
13 Ogos 2016 – HARAKAHDAILY 13/8/2016

Share on Myspace