PAS umum tolak gesaan kerjasama dengan Umno

HARAKAHDAILY | .

PAS UMUM TOLAK GESAAN KERJASAMA DENGAN UMNO (15 OGOS 1989)

PADA hari ini dalam tahun 1989, akhbar Utusan Malaysia telah menyiarkan satu wawancara dengan Yang Dipertua PAS Pusat, Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor tentang isu politik semasa terutama berkait perpaduan orang Melayu. Dalam wawancaranya, Ustaz Fadzil Mohd Noor yang juga ADUN Bukit Raya, Kedah telah secara terbuka menolak gesaan pelbagai pihak supaya PAS membentuk kerjasama dengan Umno bagi mewujudkan perpaduan orang Melayu, sebaliknya beliau menegaskan bahawa PAS lebih berminat untuk bekerjasama dengan serpihan Umno, Semangat 46. Menurut beliau, PAS lebih selesa bersama Semangat 46 yang telah bersetuju menjadikan Islam sebagai landasan kerjasama, berbanding Umno yang mendukung kebangsaan sekular dan mahu membentuk kerjasama atas nama Melayu.

Isu kerjasama PAS-Umno ini timbul ekoran pengharaman Umno oleh mahkamah pada 4 Februari 1988 yang menyebabkan Umno berpecah dua. Team A yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed telah membentuk Umno (Baru), sedangkan Team B yang dipimpin oleh Tengku Razaliegh Hamzah membentuk Semangat 46. Kedua-dua parti bekas ahli Umno ini bersaing pengaruh dan cuba mendekati PAS. Hubungan PAS dengan Team B Umno telah terbentuk sejak akhir 1988 apabila pemimpin PAS dan Team B Umno bertemu dalam Majlis Makan Malam Pemikir Ummah pada 23 Disember 1988. Ekoran itu, pada 6 April 1989, Timbalan Presiden Umno, Abdul Ghafar Baba telah mendedahkan kesediaan Umno yang mahu berunding untuk bekerjasama dengan PAS. Memberi respon terhadap kenyataan pemimpin nombor dua Umno (Baru) itu, Ustaz Fadzil Mohd Noor pada 6 April 1989 berkata PAS sedia untuk berunding jika dijemput.

Isu kerjasama PAS-Umno ini telah berbangkit dalam sejak awal 1987 ketika Umno sedang dibicarakan di mahkamah. Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad telah mencadangkan supaya PAS bekerjasama dengan Umno membentuk Barisan Islamiyah, kemudian pada 21 Ogos 1988, beliau sekali lagi membuat seruan yang sama dalam Persidangan Agung Perpaduan dan Politik Islam anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat, tetapi cadangan beliau tidak mendapat sambutan daripada PAS. Sebaliknya, pada 9 Oktober 1988, PAS bersetuju menerima cadangan Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri supaya PAS membentuk kerjasama dengan Team B Umno, yang membawa kepada berlangsungnya Majlis Makan Malam Pemikir Ummah pada akhir 1988. Persetujuan PAS ini membawa kerjasama tidak rasmi dengan Semangat 46 dalam pilihan raya kecil di Ampang (28 Januari 1989) dan Teluk Pasu (25 Jun 1989), selain penganjuran Seminar Perpaduan Ummah (20 Oktober 1988) dan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah (28 Oktober 1988).

Pendirian Ustaz Fadzil Mohd Noor yang disiarkan pada 15 Ogos 1989 ini adalah berkait rapat dengan keputusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 12 April 1989 yang menolak kerjasama dengan Umno kerana parti sekular itu gagal menyatakan dengan jelas isu yang hendak dirundingkan, lebih-lebih lagi ketika itu PAS sedang berunding dengan Angkatan Perpaduan Ummah (APU), sebuah gabungan politik Semangat 46 dan Berjasa. PAS turut melihat bahawa rundingan dengan Umno tidak memberi banyak manfaat kerana dasar nasionalisme dan pragmatisme yang diamalkan oleh Umno. Dalam wawancaranya yang disiarkan pada 15 Ogos 1989 itu, Ustaz Fadzil Mohd Noor menjelaskan sikap PAS yang menolak kerjasama dengan Umno walaupun parti itu lebih kuat dari Semangat 46. PAS menghargai kesediaan Semangat 46 untuk menerima Islam sebagai asas kerjasama, sedangkan PAS sedar bahawa Umno tidak akan tunduk kepada kehendak PAS kerana mereka adalah parti pemerintah. Serentak dengan pernyataan sikap PAS ini, sebuah lagi serpihan PAS, Hamim telah mengumumkan pada 15 Ogos 1989 ini untuk meninggalkan BN dan bergabung dalam APU.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
15 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 15/8/2016

Share on Myspace