Wanita Kelantan membangun dalam acuan wahyu

MUHAMMAD FARIS MOHAMED BASIR | .

Negara tercinta kita sekarang berada dalam keadaan yang sangat membimbangkan. Keadaan ini berlaku dalam semua aspek, baik politik, sosial, agama mahupun ekonomi. Paling tenat adalah situasi dan kondisi ekonomi. Malahan gerakan aktivisme dan hak asasi manusia juga terkena tempiasnya sehinggakan kita seolah-olah sudah tidak pasti ke manakah arah tuju rakyat Malaysia selepas ini. Bahkan Timothy Garton Ash juga mengatakan bahawa; this world 'not a new world order but a new world disorder'.

Namun, di sebalik kekacauan itu munculnya sebuah kerajaan negeri yang terus beriltizam mengangkat martabat wanita dengan wahyu saat gerakan feminist lain berada dalam keadaan gerhana dan semakin malap cahayanya. Negeri tersebut ialah Kelantan yang seringkali dikritik dan dikatakan negeri termiskin. Namun, masih lagi mampu mengadakan program bagi membuktikan bahawa Islam menyanjung tinggi taraf dan peranan wanita dalam membentuk generasi masa depan negara. Maka diilhamkan penganjuran Hari Saidatina Khadijah yang mana terkandung di dalamnya pelbagai jenis program dan acara. Salah satu daripada programnya ialah Muslimah International Summit Kelantan yang mana seramai empat belas delegasi dari pelbagai negara dihimpunkan untuk membincangkan isu-isu wanita di peringkat global. Program ini dianjurkan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Datuk Ahmad Yakob khususnya di bawah Urusetia Pembangunan Wanita,  Keluarga dan Kebajikan. Selain itu,  terdapat juga program Bual Bicara dan Pelancaran Buku Tokoh Siasah Wanita dan juga Buku Pencapaian Wanita Kelantan. Dengan penganjuran program sebegini, ini menunjukkan komitmen Kelantan untuk mengangkat nilai wanita berpandukan Syariah.

Kemudian, saya ingin mengalih perhatian pembaca kepada  sejarah keterlibatan wanita di Kelantan. Negeri Kelantan sangat terkenal dengan jolokan negeri Cik Siti Wan Kembang, namun siapakah beliau? Beliau merupakan salah seorang Raja Perempuan Kelantan yang pernah ditabalkan pada tahun 1610. Sejak daripada tahun 2004, Kerajaan Negeri juga telah melantik exco wanita dalam pentadbiran negeri. Keterlibatan wanita dalam banyak sektor kerajaan terutama perniagaan bukanlah satu penindasan bahkan satu bentuk kebebasan yg ditonjolkan terhadap wanita dalam masa yang sama tetap menjaga nilai fitrah penciptaan wanita.

Namun, perkara ini tidak mendapat sambutan daripada para facebookers tidak sepertimana isu saman yang dikenakan kepada wanita Islam yang mendedahkan auratnya. Jangan hanya kerana cakap-cakap yang tidak berasas kita sudah tidak berlaku adil dan pukul rata. Malah, jika kita perhatikan sudah banyak usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan (UPWKK) di bawah kelolaan YB Mumtaz Md Nawi untuk mendidik, mengiktiraf dan mengangkat martabat wanita Kelantan. Jikalau masih tidak percaya, anda boleh dapatkan risalah '100 Inisiatif: Kelantan Cakna Wanita' yang diterbitkan oleh kerajaan negeri. Baca, kaji dan kemudian buat penilaian anda.

Akhirnya, jutaan tahniah diucapkan kepada Kerajaan Negeri Kelantan, khususnya kepada YAB Datuk Menteri Besar di atas penganjuran program yang saya kira sangat penting saat negara memerlukan wanita untuk tampil lebih berkesan membentuk generasi yang lebih baik. Mereka merupakan tunjang kesejahteraan sosial rakyat. Ini kerana wanita dalam Islam diletakkan dalam kelas tersendiri berbanding Barat dan pemikiran moden yang lain. Malah, usaha ini seiring dengan apa yang disebut oleh Allah di dalam surah At-Taubah, ayat ke 71. Yang mana ayat ini menceritakan bahawa wanita turut sama membangunkan negara dengan nilai-nilai keadilan dan kesejahteraan.

Moga dengan penganjuran Hari Saidatina Khadijah (HSK) ini para wanita seluruh Malaysia dapat mencontohi kemuliaan pekerti Saidatina Khadijah, wanita pertama yang memeluk agama Islam dan juga merupakan tulang belakang kepada perjuangan Nabi Muhammad Sollallahu 'Alaihi Wasallam dalam mendukung agama tercinta ini. Karakter yang diperlukan bagi memberdayakan kualiti wanita dalam zaman penuh mencabar kini. Seiring dengan tagline program iaitu, 'Agar Dirimu Semulia Khadijah'. Ayuh kita hadir beramai-ramai! - HARAKAHDAILY 15/8/2016

Penulis ialah Sukarelawan Hari Saidatina Khadijah.

Share on Myspace