Gaduh: Felda perlu perkasa ekonomi generasi kedua

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Felda perlu memberi fokus kepada usaha memperkasa ekonomi generasi kedua, kata Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat, Razman Zakaria.

Ini, katanya memandangkan Felda sudah berada pada peringkat generasi kedua dan ada yang sudah menjangkau sehingga generasi ketiga.

"Maka sewajarnya Felda memikirkan untuk mengambil langkah memperkasakan ekonomi generasi kedua," ujarnya kepada Harakahdaily sebagai mengulas insiden 7 orang generasi kedua anak Felda ditahan polis kerana terlibat dalam pergaduhan di Felda Keratong 5, semalam.

Beliau yang menziarahi mereka dimaklumkan punca pergaduhan adalah kerana kebun sawit yang diusahakan di atas tanah Felda lebih 20 tahun dahulu dimusnahkan tanpa sebarang rundingan dan pampasan.

Ini, ujarnya dengan alasan tanah tersebut adalah untuk projek generasi kedua.

"Bila dirujuk dengan pihak Felda dan pejabat tanah tanah, belum ada apa-apa kelulusan pembangunan di atas tanah tersebut," ujarnya lagi.

Tambahnya, lebih mendukacitakan apabila tanaman yang dimusnahkan hanya melibatkan mereka yang mempunyai perbezaan politik.

Menurutnya lagi, perjumpaan dengan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin telah diadakan dan jawapan yang diberikan projek akan diteruskan.

Beliau berkata, menurut mangsa kebun tersebut adalah merupakan sumber ekonomi mereka dan pengambilan yang sedemikian menyebabkan sumber pendapatan mereka terputus dengan tiba-tiba.

"Insiden seperti ini boleh dielak sekiranya pengurusan Felda mengambil kira matlamat penubuhan Felda itu," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Perak. - HARAKAHDAILY 15/8/2016

Share on Myspace