Kerajaan mesti serius tangani kemiskinan luar bandar

HARAKAHDAILY | .

Kerajaan mesti segera bertindak  lebih  serius bagi membela warga luar bandar khususnya keluarga golongan penoreh dan pekebun kecil getah, para petani, para nelayan, boroh kasar dan kakitangan awam bergaji kecil yang tinggal di luar bandar ini. Mereka adalah golongan yang mendapat kesan langsung kepada peningkatan harga barangan dan kemuraman pertumbuhan ekonomi negara.

Kerajaan perlu inovatif dan merangka program-program baru baru bagi meningkatkan pendapatan mereka dan ianya perlu diterjemahkan menerusi bajet 2017 yang bakal dibentangkan di parlimen bukan oktober nanti.

Sekiranya golongan ini tidak dibantu secara berkesan, tidak mustahil ia akan menjadi penyumbang kepada peningkatan kadar kemiskinan luar bandar sedikit masa lagi.

Berdasarkan data-data yang diambil daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, kira-kira 26% atau 7.8 juta daripada jumlah penduduk di negara ini adalah kategori luar bandar dan 6.3 juta atau 79% daripadanya adalah merupakan etnik Bumiputera. Bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Kelantan, Pahang, Perlis, Terengganu dan Kedah mempunyai peratusan yang tertinggi iaitu 53%, 45%, 40%, 37% dan 32% masing-masing.

Industri yang paling banyak penglibatan penduduk luar bandar ialah industri pertanian, perhutanan dan perikanan iaitu sebanyak 41%. Antaranya ialah sebagai penoreh dan pekebun kecil getah; selain pesawah dan nelayan.

Pada masa ini sahaja terdapat kira-kira 590,000 penoreh dan pekebun kecil getah di negara kita yang sedang berhadapan dengan masalah pendapatan untuk menyara kehidupan dan keluarga masing-masing berikutan kejatuhan harga getah semasa. Setakat minggu lalu, harga getah SMR 20 ialah 515.50 sen/kg manakala harga getah sekerap ialah 205.00 sen/kg.

Sepatutnya, Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang akan diaktifkan jika harga purata bulanan getah SMR 20 berada pada paras RM5.50 sekilogram atau harga getah sekerap di peringkat ladang berada paras paras RM2.20 sekilogram dan ke bawah, diganti dengan skim penstabilan harga getah bagi menjamin harga getah sekerap berada pada nilai RM4.00 sekilogram bersesuaian dengan kos sebenar untuk mengeluarkan getah itu iaitu RM3.20 sekilogram. Kaedah dan alat yang digunakan untuk mengukur kandungan getah kering (dried rubber content, DRC) juga mestilah memenuhi ciri-ciri saintifik dan menjamin ketepatan; bukannya dibuat berasaskan kepada andaian atau anggaran sahaja.

Golongan nelayan pula hanya mengalami peningkatan pendapatan sebanyak 3.5% sahaja bagi tempoh 10 tahun. Kenaikan dengan kadar yang teramat sedikit ini menjadikan amat mustahil kepada para nelayan untuk memiliki pendapatan boleh guna yang mencukupi bagi memenuhi keperluan hidup mereka lebih-lebih lagi dalam suasana kenaikan kos sara hidup dan kesan kejatuhan nilai Ringgit dan pelaksanaan GST, bahkan mungkin akan lebih teruk setelah pelaksanaan penuh TPPA nanti.

Mendukacitakan, purata pendapatan bulanan nelayan bagi Negeri Terengganu adalah RM1,400 dengan sekumpulan besarnya berpendapatan antara RM518 hingga RM1.250 sebulan. Nilai ini berada di bawah paras purata pendapatan nelayan negara iaitu RM1.600 sebulan. Pendapatan nelayan Terengganu berada pada tempat ketiga terendah di Semenanjung Malaysia selepas Negeri Sembilan (RM1,240) dan Kelantan (RM1,300).

Masalah pencerobohan nelayan asing khususnya oleh warga Vietnam dan campurtangan orang tengah mestilah diberikan perhatian serius dan diselesaikan segera. Urusan pengeluaran lesen kepada semua nelayan pula perlu dipermudahkan bagi mengelakkan wujudnya nelayan tidak sah sehingga mengakibatkan mereka sukar atau tidak mendapat apa-apa bantuan yang disediakan.

CUEPACS pada awal tahun ini telah mendedahkan bahawa 12% kakitangan kerajaan terikat dengan hutang along sejak 2012 dan terus bertambah berikutan faktor gaji rendah dan peningkatan kos sara hidup. Merisaukan, jika demikian berlaku kepada golongan penjawat awam, tidak mustahil keadaan yang sama atau lebih teruk juga berlaku kepada warga luar bandar yang berpendapatan jauh lebih rendah.

Kerajaan mesti melakukan inovasi dan tranformasi dalam sektor pekerjaan 3D (dangerous, dirty and difficult) bagi memberi peluang dan menarik warga luar bandar khususnya golongan belia untuk bekerja dalam sektor ini yang kini sedang didominasi oleh warga asing terutamanya warga Bangladesh.

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus / Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
15 Ogos 2016 | 12 Zulkaedah 1437 - HARAKAHDAILY 19/8/2016

Share on Myspace