SPRM mesti tegas dan tiada pendakwaan selektif

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengalu-alukan ketegasan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru untuk menentang rasuah. Kami mengharapkan ketegasan ini konsisten, berani, bebas dan tiada pendakwaan selektif. Tawaran yang dikemukakan oleh KP SPRM juga boleh diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara supaya lebih banyak skandal rasuah dapat diselesaikan setiap tahun.

Kita juga mahu supaya SPRM komited mensasarkan penyelesaian kes rasuah melebihi 95% setiap tahun. Ia harus menjadi indikator baru kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM. Selain itu, SPRM juga berhadapan tugas berat untuk memulihkan semula kredibiliti SPRM. Siasatan SPRM terhadap SRC International, derma RM2.6 bilion dan secara tidak langsung terhadap kes 1MDB telah menjejaskan reputasinya sebagai badan bebas kerana ia seolah-olah dibayangi intervensi politik yang keterlaluan.

Jika diamati ucapan mantan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Zakaria Jaffar dalam Majlis Paluan Berundur 2015 dan ucapan terbaru Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdul dalam Majlis Paluan Berundur 2016 seolah-olah memberikan mesej dan signal penting terhadap kewibawaan SPRM yang cuba diganggu gugat oleh pihak tertentu. Tambahan pula, rombakan besar-besaran SPRM menimbulkan persepsi-persepsi baru.

Ini yang menjadi kebimbangan kita. Intervensi politik, pendakwaan terpilih, dan tahap ketelusan siasatan masih belum menghilangkan keraguan rakyat terhadap SPRM. Disebabkan itu, agenda membanteras rasuah yang melibatkan kes berprofil tinggi masih belum mencapai tahap yang memuaskan.    

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
12 Zulkaedah 1437 | 15 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 15/8/2016

Share on Myspace