Jual saham Proton: Bisnes atau politik?

HARAKAHDAILY | .

Saya agak terkejut apabila berita penjualan keseluruhan saham Proton kepada pelabur luar diwar-warkan di media pada minggu lalu. Adakah ini sebahagian syarat yang terdapat dalam terma pembiayaan kerajaan kepada DRB-Hicom?

Adakah penjualan ini juga sebahagian daripada respon DRB-Hicom terhadap keengganan kerajaan mengambil alih Proton? Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan desas-desus ini juga berkaitan dengan sentimen politik kem Najib (kerajaan) dan kem Mahathir-Muhyiddin (DRB-Hicom).

DRB-Hicom telah cuba memohon pembiayaan mudah daripada kerajaan berjumlah RM1.5 bilion sejak suku pertama tahun 2016. Namun, status pembiayaan tersebut masih belum jelas kerana kerajaan telah menetapkan pelbagai syarat untuk menstruktur semula perniagaan syarikat automotif negara termasuk membayar hutang kepada vendor-vendor Proton. Penjualan saham Proton juga boleh berlaku bagi mendapatkan rakan kongsi strategik untuk meningkatkan keupayaan Proton ke aras yang lebih baik.

Persoalannya, ke manakah hala tuju Proton? Adakah desas-desus ini disebabkan oleh sentimen politik-bisnes yang sedang berlaku dalam Umno hari ini? DRB-Hicom sedang bergelut dengan komitmen kewangan yang tinggi akibat daripada prestasi jualan Proton yang semakin lemah disebabkan oleh faktor-faktor dalaman dan luaran. Disebabkan itu, tidak mustahil penjualan keseluruhan atau sebahagian besar saham Proton boleh berlaku dalam masa terdekat sekiranya DRB-Hicom gagal untuk meneruskan komitmen perniagaannya.

Adakah hasrat penjualan Proton kepada pelabur luar adalah jalan terbaik untuk memulihkan status kewangannya? Adakah Proton boleh diselamatkan atau ia akan mengulangi nasib seperti MAS? Proton bukan sekadar syarikat automotif bahkan ia mempunyai nilai sentimen dan maruah rakyat serta negara.

Saya berharap pelan pemulihan Proton mesti diagendakan supaya ia tidak lagi terus menanggung kerugian pada masa-masa akan datang.

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
12 Zulkaedah 1437 | 15 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 15/8/2016

Share on Myspace