Melahirkan wira anti rasuah dalam kalangan belia

SYAHIR SULAIMAN | .

“Dan kepada penduduk Madyan Kami utuskan saudara mereka, Nabi Syuaib. Dia berkata: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! (Sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan. Sesungguhnya aku melihat kamu berada dalam kemewahan; dan sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang meliputi (orang-orang yang bersalah)” (Hud: 114)
 
Krisis integriti dalam kalangan belia
 
Pada April 2016, SPRM melaporkan sebanyak 55 peratus atau 1,045 daripada 1,902 pesalah rasuah di Malaysia sejak 2013 merupakan mereka yang berusia bawah 40 tahun.
 
Menurut SPRM, antara faktor situasi yang membimbangkan ini berlaku adalah kerana pemikiran golongan muda bahawa memberi rasuah adalah jalan mudah untuk tidak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
 
Manakala Presiden Transparensi Internasional Malaysia berpandangan, golongan belia di negara ini berhadapan dengan krisis integriti yang semakin kritikal, didorong oleh kecenderungan untuk hidup mewah dan budaya kebendaan yang tinggi dalam kalangan pegawai dan eksekutif muda dalam sektor kerajaan dan swasta.
 
Justeru, pelbagai program pendidikan kini diperluaskan bagi membetulkan kefahaman terhadap tentang rasuah dan pencegahannya di kalangan generasi muda, antaranya Belia Berintegriti, Youth For Integrity (YFI), Wira Anti Rasuah (WAR) dan Resolusi Gombak.
 
Persoalannya, sejauh mana program kesedaran awam di peringkat awal ini dapat membawa kepada penyelesaian krisis integriti dalam negara yang memerlukan tindakan secara efektif dan kolektif.
 
Pengajaran keruntuhan integriti kaum Madyan
 
Di dalam Surah Hud ayat 84 hingga 88, Allah s.w.t. merakamkan pesanan Nabi Syuaib a.s. terhadap kaumnya tentang hubung kait nilai hidup beragama dan krisis integriti yang boleh meruntuhkan sesebuah tamadun bangsa.
 
Madyan merupakan sebuah kota yang rancak dengan aktiviti ekonomi. Terletak di tengah laluan dagangan Syam dan Hijaz, ia menjadikan penduduk Madyan dilimpahi keuntungan dan kemewahan. Namun, mereka telah melampaui batas dengan melanggar perintah agama dan menindas dalam aktiviti ekonomi, sehingga Madyan digelar sebagai ‘syurga’ bagi penipuan, pemerasan, penindasan, dan ekploitasi.
 
Antara intisari penting dalam penghayatan amalan ekonomi adalah mencari keberkatan yang diperolehi daripada sumber pendapatan yang halal. Nabi Shu’aib a.s. berkata (maksudnya): “Baki (yang halal) Allah kepada kamu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman, dan aku bukanlah orang yang mengawasi kamu”. (Hud: 86).
 
Inilah asas integriti moral yang perlu ada dalam kehidupan, jiwa yang memadai dengan yang halal dan tidak mengambil harta orang lain tanpa haknya, seterusnya membuahkan keberkatan dalam negara. Selain itu, kisah penduduk Madyan menunjukkan kepentingan iman dalam membangunkan tamadun. Hanya iman yang dapat melahirkan sebuah generasi yang mempunyai integriti yang tinggi – adil dalam membuat keputusan, jujur dalam bermuamalat, malu untuk melakukan kesalahan, dan takut akan hukuman Tuhan.
 
Justeru, untuk menangani krisis integriti yang kritikal ini, yang diperlukan bukan sekadar kempen kesedaran, kursus etika perniagaan dan pelbagai seminar, tetapi suatu perubahan berteraskan keimanan dan nilai agama yang mampu membangkitkan rasa gerun kepada Tuhan dan keinginan untuk merebut keberkatan-Nya.
 
Inilah formula untuk melahirkan lebih ramai Wira-Anti-Rasuah di kalangan generasi muda dalam negara, yang terkandung di dalam nasihat-nasihat Nabi Syuaib sebagai asas kepada urustadbir (good governance) yang baik dalam negara. - HARAKAHDAILY 16/8/2016

Penulis ialah Pengarah Strategi DPPM.

Share on Myspace