Kerajaan bertanggungjawab isu pendapatan peneroka

HARAKAHDAILY | .

JASIN: Kerajaan menerusi Dewan Rakyat dan Dewan Negara berjaya membawa institusi perladangan terbesar negara ke bursa saham.

Secara literalnya telah memindahkan aset negara kepada swasta, FGV.

Justeru, PAS menuntut supaya kerajaan membuat kajian prestasi ke atas dua perkara iaitu prestasi keuntungan dan pendapatan sebelum dan selepas penyenaraian FGV.

"Perkara yang kedua ialah prestasi pendapatan peneroka," kata Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat, Razman Zakaria.

Beliau membangkitkan persoalan itu semasa melawat Felda Tun Ghafar Kemendor untuk melihat sendiri prestasi pokok tanam semula yang diurus oleh FGV berbanding dengan tanam semula yang diurus secara persendirian.

Turut sama dalam lawatan tapak dan perbincangan tersebut adalah Pesuruhjaya Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek, Ketua Jabatan Felda PAS Pusat yang juga mantan CEO KPF, Datuk Sarchu Shawal dan Pengerusi Generasi Kebangsaan, Ustaz Roslan Md Isa.

Menurutnya, persoalan itu ditimbulkan berikutan harga saham FGV yang jatuh lebih daripada separuh berbanding dengan harga yang ditawarkan.

Beliau juga melahirkan rasa terkejut kerana bayaran hasil sawit diperolehi selepas sebulan daripada tarikh penghantaran buah ke kilang berbanding dahulu hanya dalam masa dua atau tiga hari sahaja.  

"Kerajaan perlu mengambil tindakan yang serius kerana ia melibatkan pendapatan peneroka," ujarnya. - HARAKAHDAILY 16/8/2016

Share on Myspace