Ayuh Malaysia! Buktikan kita mampu raih emas olimpik

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia optimis Malaysia mampu menggenggam emas di Temasya Sukan Olimpik Rio 2016 ini dengan kejayaan pasangan beregu campuran badminton negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying yang melangkah ke perlawanan akhir esok.

Pemuda PAS begitu berbangga dengan gandingan negara yang menduduki ranking ke-11 dunia kini yang mampu mengejutkan beregu keenam dunia dari China, Xu Chen-Ma Jin dengan dua set 21-12, 21-19.

Menurut Pengarah Jabatan Seni, Budaya dan Sukan Pemuda PAS Ir Khairil Nizam Khirudin kemaraan Peng Soon-Liu Ying ke final ini adalah disifatkan paling bersejarah kerana beregu campuran negara tidak pernah mara ke pertandingan akhir dan menyumbang pingat sejak badminton dipertandingkan di Olimpik Barcelona 1992.

Katanya yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, mengucapkan selamat berjaya kepada Peng Soon dan Liu Ying untuk membuahkan pingat emas buat Malaysia yang akan menentang pasangan Indonesia, Ahmad Tontowi-Liliyana Natsir, pada perlawan akhir esok.

Pemuda PAS juga mengharapkan kejayaan buat pasangan beregu lelaki negara Goh Vi Shem dan Tan Wee Keong untuk melangkah ke final acara beregu lelaki.

"Kejayaan menewaskan pasangan nombor satu dunia Yong Dae dan Soong Yoong dalam aksi dramatik yang sungguh mendebarkan semalam, diharapkan menjadi bekalan bagi kejayaan mendapatkan satu lagi pingat emas buat Malaysia," katanya kepada Harakahdaily. – HARAKAHDAILY 16/8/2016

Share on Myspace