Mengapa PAS tidak tiru macam Erdogan?

SYED AHMAD FADHLI | .

ADA yang bertanya, dan tidak kurang juga yang mempertikaikan mengapa Tuan Guru Presiden PAS tidak meniru langkah seperti Erdogan di Turki?

Kalau saya ditanya sedemikian, saya akan jawab secara mudah sahaja.

1.Kita berada di Malaysia, bukannya di Turki. Adakah sama suasana di sana dan di sini?
Perlembagaan di sana berakidahkan sekularisme dan Tentera sebagai pelindungnya sedangkan Artikel 3, Perlembagaan Malaysia sudah menyatakan dengan jelas Islam sebagai Agama Persekutuan. Adakah Islam dihalang dengan keras pelaksanaannya di Malaysia?

Mereka di sana berjuang dengan kondisi mereka, kita berjuang dengan kondisi di sini, bukankah ini dinamakan Fiqhul Waqi'?

2.Kita di sini sudah adanya PAS, sebuah parti yang telah menzahirkan dengan terang dan nyata dasar perjuangannya iaitu Islam, seawal penubuhannya pada tahun 1951.

PAS di sini dibenarkan bergerak di pentas demokrasi walaupun ia masih tidak mencukupi. Berbeza dengan sistem negara Turki yang menghalang segala bentuk perjuangan yang berasaskan Islam.

PAS ialah PAS. Mengapa pula kita terpesona dan mahu mengikut acuan lain yang belum tentu sama dengan realiti kita?

Bak kata Tuan Guru Presiden PAS,
"Maka, PAS bukan seperti Ikhwan Muslimin di negara Arab, bukan Jamaat Islami di Pakistan, bukan Jemaah Tabligh India, bukan Parti Saadat dan Adalat Turki, jauh sekali seperti Al-Qaeda atau Daish yang berjenamakan jihad tanpa ilmu dan bertafaqquh dalam perkara Islam,.......

Oleh itu, PAS dengan Islamnya mampu menghadapi adanya perbezaan tempat, keadaan dan masa. Maka, PAS tidak boleh terpengaruh dengan apa-apa sahaja yang tidak selaras dengan situasi dan realiti daripada luarnya dan terus beristiqamah bersama Islamnya.

Menjadikan PAS tidak terpesona dengan Revolusi Mesir 1952 dan terkini 'Arab Spring' yang hampir menenggelamkan Ikhwan, PAS juga tidak terpengaruh dengan Revolusi Iran menghadapi kediktatoran Shah Iran yang mengganas dan Mazhab Syiah Imamiyyah majoriti rakyatnya, PAS tidak terpengaruh dengan keadaan di Turki kerana tenteranya dijadikan pelindung sekularisme yang hanya menentang Islam sahaja supaya memerangi rakyat Turki yang berhasrat menjadikan agama Islam berdaulat di negaranya..." – HARAKAHDAILY 16/8/2016

Share on Myspace