Muslim Thailand lebih mudah tunai haji

ASLANI M | .

MADINAH: Penduduk Muslim Thailand agak bernasib baik, tidak perlu menunggu lama untuk menunaikan ibadat haji.

Sedangkan rakyat Malaysia terpaksa menunggu sehingga sembilan tahun bagi membolehkan menunaikan haji.

Seorang jemaah haji dari Yala memberitahu penduduk Muslim Thailand tidak perlu menunggu lama untuk menunaikan haji seperti rakyat Malaysia untuk menunaikan haji.

Katanya penduduk yang mendaftar tahun ini pun boleh menunaikan haji.

"Saya hanya daftar tahun lepas untuk menunaikan ibadat haji. Namun tidak menunaikan haji lagi kerana belum cukup wang.

"Hanya tahun ini saya dan isteri datang menunaikan ibadat haji," kata Mohamad yang mengusahakan perniagaan tom yam di Pulau Pinang.

Beliau ditemui di Masjid Nabawi hari ini.

Menurutnya tahun ini jemaah haji dari Thailand seramai 8,000 orang.

Katanya Thailand sepatutnya mendapat kuota 10,000 orang, namun kerajaan negara itu memulangkan 2,000.

Beliau berkata kuota itu diberi kepada negara lain termasuk Indonesia dan Malaysia memandangkan mempunyai bilangan penduduk Muslim lebih ramai.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan jemaah haji penerbangan KT 18 hingga 21 dibawa melawat makam Rasulullah SAW di Masjid Nabawi dan tanah perkuburan Baqi. – HARAKAHDAILY 16/8/2016

Share on Myspace