RUU 355: Terjemah pengertian sebenar Islam

USTAZ MUHAMMAD NAJHAN HALIM | .

FIRMAN Allah SWT dalam surah al Ahzab ayat 36,

"..Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata..."

Usul Undang-Undang Persendirian (Private Bill) bagi meminda RUU Akta 355 atau Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang mengehadkan hukuman yang boleh dikenakan kepada maksimum 3 tahun penjara, denda RM5000 dan 6 kali sebatan yang dikemukakan oleh YB Tuan Guru Abd Hadi Awang dari Marang telah mewujudkan perbahasan yang menarik sama ada pro dan kontra.

Namun begitu, sebagai orang Islam seharusnya merasakan ia adalah satu perkembangan yang cukup memberangsangkan dari sudut memartabatkan Islam di negara ini. Ia hendaklah dilihat sebagai usaha dan kejayaan yang besar jika ia diteliti menerusi sejarah. Usaha memartabatkan Syariah Islam di negara ini pernah melalui proses halangan yang berliku sama ada halangan politik dan halangan perundangan semenjak pada tahun 1990 lagi.

Apabila usul ini berjaya dibentangkan, ia menandakan bahawa halangan politik sudah semakin terangkat sedikit dengan kebenaran usul ini dibawa oleh ahli parlimen daripada pembangkang iaitu Presiden PAS sendiri.

Tidak dinafikan, masih terdapat halangan seterusnya iaitu halangan sistem perundangan yang mesti ditempuhi dengan penuh sabar dan optimis kepada cahaya Islam.

Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Pandangan yang positif dan proaktif mengenai Perkara 3 (1) ini seharusnya menjadi sikap setiap rakyat yang beragama Islam dalam negara ini. Bahawa Islam adalah merupakan Agama Persekutuan mesti menjadi satu dasar yang mengorientasikan dalam segenap aspek sistem kenegaraan daripada sosial, ekonomi, politik, individu, masyarakat dan negara. Tafsiran Islam dalam Perlembagaan Persekutuan haruslah diertikan sebagai Ad-Din.

Profesor Tan Sri Ahmad Ibrahim seorang pengamal dan pengkaji Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang di negara ini berpendapat dalam salah satu penulisannya bertajuk, "Kedudukan Islam dalam Perlembagaan Malaysia" berpendapat Islam dalam Perlembagaan sebagai agama Persekutuan yang bersifat syumul.

Berkata Profesor Tan Sri Ahmad Ibrahim jika ini diteliti lagi dengan dirujuk dalam kandungan Perlembagaan yang menyatakan bahawa "agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan" bermakna bahawa orang bukan Islam tidak mahu Undang-undang Islam dikenakan ke atas mereka.

Maka difahami bahawa agama yang difahami oleh mereka mencakupi peraturan kehidupan. Jikalau orang bukan Islam pun memahami agama seperti itu, lebih-lebih lagi kepada orang Islam yang sepatutnya tahu dan faham bahawa Islam berkait rapat dengan peraturan kehidupan individu,  masyarakat dan negara.

Malah, dalam peruntukan Perlembagaan telah menjamin bahawa orang bukan Islam tidak berkait dengan perbicaraan dan hukuman daripada Mahkamah Syariah seperti termaktub dalam Akta 355 Seksyen 2.

Firman-Nya dalam surah al Baqarah ayat 256,

"..Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui..."

Suruhanjaya Lord Reid yang ditugaskan untuk mendrafkan Perlembagaan Persekutuan sebelum negara mencapai kemerdekaan telah didesak oleh pelbagai pihak khasnya umat Islam dan pejuang Islam agar meletakkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan.

Kejayaan meletakkan Islam dalam Perlembagaan disamping tidak mengabaikan hak penganut agama-agama lain sebenarnya memberikan tafsiran sebenar Islam itu sendiri. Iaitu Islam dimartabatkan sebagai agama tertinggi dan penganut agama lain tidak dipaksa untuk menerima Islam dan patuh kepada peraturan Islam. Ini selari dengan firman-Nya dalam surah Ali Imran ayat 16,

"..Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisab-Nya..."

Tambahan lagi, Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan dengan jelas bahawa negara ini adalah berkonsepkan sekular. Maka Islam sepatutnya ditafsirkan kepada konsep yang syumul dan lengkap meliputi aspek, individu, masyarakat, negara, ekonomi, sosial, politik serta sistem perundangan.

Dalam Perkara 11 Perlembagaan memperuntukan "Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya" telah jelas memberi hak kepada penganut mana-mana agama untuk mengamalkan secara bebas hak beragama masing-masing dan ini adalah juga sepatutnya termasuk dalam kalangan umat Islam untuk beramal dengan agama Islam sebagai agama yang syumul.

Kebebasan beragama dalam Perlembagaan ini sewajarnya membenarkan hak mempraktiskan kesempurnaan agama Islam seperti memperakui usaha untuk meminda mana-mana bahagian menurut peruntukan undang-undang negara ini agar selari dengan Islam atau sekurang-kurangnya hampir kepada Islam.

Maka dengan itu, sewajarnya setiap orang Islam memahami bahawa Islam dalam Perlembagaan Malaysia seharusnya dimanfaatkan untuk memartabatkan Islam termasuk dalamnya usaha menaiktaraf Mahkamah Syariah di negara ini agar menjadi sebahagian daripada sistem perundangan yang kompetatif dan efektif.

Ayuh kita bersama menyokong Pindaan Akta 355 Mahkamah Syariah. – HARAKAHDAILY 18/8/2016

Penulis ialah Pengarah Penerangan Lajnah Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Share on Myspace