Fitrah manusia tidak suka harta diceroboh

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR | .

PAS tetap berada dipersada politik Malaysia dengan imejnya tersendiri, tampil bersama gagasan politik Islam yang membawa aspirasi hebat untuk mentadbir negara dengan wahyu Ilahi.

Secara fitrah semua manusia tanpa mengira bangsa dan agama inginkan kedamaian, tidak mahu peribadi mereka, sama ada jasad atau harta benda yang mereka miliki diceroboh oleh manusia yang jahat.

Allah SWT yang menciptakan alam serta isinya termasuk makhluk bernama manusia telah menyediakan sistem kehidupan, disediakan cara serta hukum bagi mentadbir sebuah negara, termasuk juga undang-undang jenayah Islam.

Tujuannya adalah agar manusia tidak hidup sewenang-wenangnya persis kumpulan 'babarian', melanggar dan menceroboh kehormatan dan hak orang lain tanpa rasa takut dan rakus.

Islam menawarkan perundangan yang adil, perundangan yang akan menghukum pencerobohan terhadap manusia meskipun jika pencerobohan itu dilakukan oleh orang Islam kepada orang bukan Islam.

PAS yakin orang Islam dan bukan Islam akan lebih aman dengan sistem ini, ia bersifat mencegah, menginsafkan, menakutkan manusia daripada melakukan kejahatan sesama manusia. Allah yang menciptakan manusia dan Allah mengetahui tahap ketakutan dan kegerunan manusia.

Tujuannya adalah untuk kita semua hidup aman damai, hukuman adalah pengawalnya, kegagalan sesuatu hukum yang mampu menakutkan dan menginsafkan manusia daripada terus melakukan kejahatan akan menjadikan sesebuah negara itu semakin dipenuhi penjenayah.

PAS tidak berganjak daripada hasratnya untuk tegakkan Islam sejak ia mula ditubuhkan, aspirasi PAS semakin difahami rakyat, meskipun masih ada yang menentang. PAS tetap berjuang dengan mengambil ruang demokrasi untuk tegakkan hukum Allah SWT, bukan dengan kekerasan.

Islam bukan sahaja agama yang diredhai oleh Allah, malahan "Islam adalah agama rasmi persekutuan". PAS akan terus memperjuangkannya dicelahan ruang yang ada. Dakwah dan terus berdakwah hingga yang tidak faham menjadi faham dan yang tidak bersetuju akan menjadi orang yang sangat bersetuju dengannya.

Sesiapapun boleh abaikan PAS jika tidak bersetuju dengan agenda Islam yang PAS bawa, tetapi PAS pasti bersetuju dengan sesiapapun jika yang dibawanya adalah agenda Islam. PAS tidak berjuang kerana manusia tetapi kerana Islam. – HARAKAHDAILY 18/8/2016

Share on Myspace