Dasar penswastaan semakin kreatif

SYAHIR SULAIMAN | .

“Supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya di kalangan kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah; dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya” (Al-Hasyr: 7)

Malaysia di-Syarikat-kan

Dasar Persyarikatan Malaysia telah diperkenalkan pada tahun 1981 bagi tujuan menggalakkan kerjasama sektor awam dan sektor swasta di mana kedua-duanya bertindak dan beroperasi dalam sebuah "Syarikat Malaysia".

Bagi menyokong Dasar Persyarikatan Malaysia, Dasar Penswastaan telah dilancarkan pada tahun 1983 sebagai usaha ke arah meningkatkan peranan sektor swasta dalam pembangunan ekonomi negara.

Menurut Kerajaan, objektif utama dasar ini adalah untuk membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kecekapan dan produktiviti, mengecilkan saiz perkhidmatan awam dan mengurangkan penglibatan sektor awam dalam ekonomi serta ke arah pencapaian matlamat penyusunan semula masyarakat dengan menggalakkan penglibatan masyarakat Bumiputera dalam sektor perindustrian dan perdagangan.

Selaras dengan dasar ini, Kerajaan akan memberi lebih perhatian kepada projek-projek yang dilaksana dan dibiayai oleh sektor swasta, sama ada melalui pendekatan penswastaan, kerjasama awam-swasta (PPP), Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dan Dana Pemudahcara (Facilitation Fund), yang kini dipertanggungjawabkan di bawah penyeliaan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri.

Model Pelaksanaan Kerjasama Awam Swasta (PPP)

Kaedah Kerjasama Awam-Swasta atau ‘Public-Private Partnership’ (PPP) merupakan satu bentuk kerjasama di antara kerajaan dan swasta di mana satu ‘stand-alone business’ diwujudkan, dibiayai dan diuruskan oleh sektor swasta sebagai satu pakej jangka panjang.

Secara umumnya model PPP merupakan struktur pembiayaan yang sangat kreatif di mana kerajaan memindahkan beban kewangan kepada pihak swasta untuk membangunkan sesebuah projek infrastruktur, dan sebagai balasan pihak swasta tersebut akan menerima keuntungan yang dijamin (guaranteed profit) dalam jangka masa panjang.

Antara kaedah pelaksanaan PPP ini adalah pemberian kontrak penyelenggaraan (contoh hospital kerajaan), model bina-kendali-pindah (contoh PLUS, LRT), bina-kendali-milik (contoh penjanakuasa elektrik), bina-pajak-pindah (contoh kampus UITM, kuarters guru), dan dana pemudahcara sebanyak 10% daripada kos projek.

Menurut UKAS, terdapat 28 projek utama yang meggunapakai konsep ‘public-private partnership’ dan 20 projek menerima dana mudah cara (facilitation fund) di seluruh negara pada masa sekarang.

Model Terbaru Pelaksanaan PPP

Dalam situasi kewangan kerajaan yang sangat terhad, legasi dasar penswastaan tetap diteruskan oleh Putrajaya sama ada dengan melanjutkan tempoh konsesi sedia ada atau menganugerahkan konsesi baru yang sangat lumayan kepada segelintir individu dan syarikat yang bertuah.

Terbaru pada 11 Januari  2016, Kerajaan telah menganugerahkan sebuah lagi konsesi lebuh raya kepada Ekovest Berhad bagi pembinaan Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE) sejauh 32 km yang bernilai RM3.7 bilion, bagi tempoh konsesi selama 53 tahun.

Menariknya, dalam majlis menandatangani perjanjian terbitan Sukuk Wakalah bernilai RM3.64 bilion bagi projek tersebut pada 16 Ogos 2016, turut diumumkan bahawa projek ini buat pertama kalinya akan menggunapakai model PPP yang dikenali sebagai ‘Reimbursable Interest Assistance’ (RIA), di mana pihak kerajaan akan menanggung bayaran faedah pinjaman semasa tempoh pembinaan berjumlah RM560 juta.

Melalui model ini, kos awal yang perlu ditanggung oleh pihak konsesi dapat dikurangkan, seterusnya meningkatkan tahap daya maju projek berkenaan dan membolehkan kadar bayaran tol yang rendah pada fasa pertama operasi lebuh raya.

Namun, kesan akhir daripada kaedah RIA ini tetap ditanggung oleh rakyat yang akan berhadapan dengan kenaikan kadar tol dalam tempoh 53 tahun konsesi berkenaan, jauh lebihi panjang berbanding tempoh konsesi biasa sekitar 30-35 tahun.

Inilah natijah dasar penswastaan (privatisation) yang pada hakikatnya umpama sebuah ‘rompakan’ (piratisation) yang terancang dengan mewujudkan ‘lubuk emas’ kepada kelompok kecil elitis dalam masyarakat tanpa mengambil peduli akan bebanan kos sara hidup yang terus menghimpit rakyat. - HARAKAHDAILY 18/8/2016

Penulis ialah Pengarah Strategi DPPM.

Share on Myspace