Kelantan larang pokemon go di premis kerajaan

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan semalam memutuskan melarang Pokemon Go dimainkan dalam premis-premis kerajaan negeri dan badan berkanun.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah berkata keputusan itu berkuat kuasa serta merta setelah ia diputuskan pada mesyuarat exco semalam.

Katanya, kerajaan negeri membuat keputusan itu  atas faktor keselamatan.

"Kita berharap semua kakitangan kerajaan negeri mematuhi arahan terbabit.

"Kita (kerajaan) juga tidak membenarkan sesiapa saja bermain Pokemon di semua premis kerajaan negeri seperti di pejabat SUK, Pejabat Tanah, Majlis Daerah, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim.

Pejabat SUK akan mengeluarkan pekeliling berkaitan perkara itu tidak lama lagi.

“Jika didapati bermain (Pokemon) yang membabitkan kakitangan kerajaan negeri atau orang awam di kawasan terbabit, tindakan disiplin dan tata tertib akan diambil,” jelasnya, perkara itu  akan dirujuk kepada SUK.

Katanya lagi, sehingga kini kerajaan negeri belum mengharamkan permainan terbabit walaupun beberapa buah negeri telah berbuat demikian.

"Ini kerana kita menunggu keputusan yang akan diambil oleh jawatankuasa fatwa negeri," ujarnya.

Menurut Amar setakat ini kerajaan negeri tidak membuat sebarang keputusan untuk mengambil tindakan terhadap orang ramai yang bermain di tempat awam atau sebagainya. – HARAKAHDAILY 18/8/2016

Share on Myspace