Warga emas pun berselfi di Masjid Nabawi

ASLANI M | .

MADINAH: Mungkinkah kerana pengaruh media sosial membolehkan kita menyaksikan fenomena jemaah berselfi di mana sahaja ruang di Masjid Nabawi.

Tidak kira usia, kecil, besar, tua dan muda mengambil ruang berselfi di mana sahaja di sekitar masjid tersebut.

Namun agak mengejutkan apabila jemaah kalangan warga emas turut berselfi menggunakan telefon pintar masing-masing.

Boleh dikatakan hampir semua jemaah haji tanpa mengira usia memiliki telefon pintar. Paling menarik perhatian apabila ramai yang merakam gambar dalam masjid ketika dilimpahi jutaan manusia.

Pagi tadi sebelum solat Subuh kelihatan seorang warga emas dari India merakam video pergerakan orang ramai dalam masjid.

Usia yang agak lanjut tidak menghalang warga emas itu berdiri di celah-celah saf bagi merakam gambar.

Pentaksub selfi paling teruja merakam wajah mereka di celah-celah lautan manusia yang berbondong-bondong keluar masjid seusai solat waktu.

Telefon pintar jenama Samsung paling banyak nampak di tangan jemaah haji dari seluruh dunia.

Rombongan jemaah haji dari Kelantan dan negeri lain tiba lagi pagi semalam dengan KT21. Penerbangan dari Kota Bharu akan diteruskan pada 26 hingga 28 Ogos ini.

Penerbangan akhir dari Malaysia dijangka berakhir pada minggu pertama September hadapan. – HARAKAHDAILY 18/8/2016

Share on Myspace