Perlaksanaan syariat wajib diutamakan

ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD | .

MEREKA cuba mengesampingkan perlaksanaan undang-undang Islam dengan beralasan bahawa ia bukanlah satu-satunya syariat Islam. Kata mereka, banyak lagi syariat Islam yang lain. Utamakan keadilan, kerana itu adalah perlaksanaan syariat yang utama dan besar.

Apa yang terlintas:

1.Tiada sesiapa yang mendakwa bahawa undang-undang Islam adalah satu-satunya syariat. Sebaliknya ia adalah sebahagian dari syariat Islam yang tidak boleh ditolak.

2.Solat, puasa, sedekah, nikah, berpolitik dan lain-lain semuanya merupakan sebahagian dari syariat Islam. Namun tiada siapa yang berani mengesampingkan arahan-arahan tersebut atas alasan 'itu semua hanya sebahagian dari syariat Islam'.

3.Sikap mencipta alasan dan selektif terhadap arahan-arahan Allah merupakan sikap yang mencederakan iman.

4.Melaksanakan keadilan merupakan ayat yang salah kerana keadilan bukan perlaksanaan. Sebaliknya ia adalah hasil yang tercerna setelah melaksanakan aturan-aturan Islam di setiap urusan. Sebagai contoh, masalah jenayah negara perlu dibendung dengan melaksanakan hudud, qisas dan ta'zir demi mengembalikan keadilan kepada semua.

5.Kata-kata mereka bermotif jahat. Umpama mengejek orang yang sedang bersiap mendirikan solat, tiba-tiba mereka berkata "Buat apa sibuk-sibuk solat, banyak lagi syariat yang lain". Jelas motif mereka ingin mengajak orang ramai agar meringankan, melengahkan akhirnya meninggalkan terus komitmen terhadap syariat Islam.

6.Yang lebih mengecewakan, sikap beralasan mereka menyebabkan mereka menghalakan serangan dan prejudis terhadap gerakan Islam yang konsisten memulihkan negara dengan undang-undang Tuhan.

7.Laras bahasa mereka lebih dilihat sebagai terjemahan kepada konsep sekular. – HARAKAHDAILY 18/8/2016

Penulis ialah Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor

Share on Myspace