Pemuda PAS WP kunjungi Polis Kuala Lumpur

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN | .

Hari ini, delegasi Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) yang diketuai oleh Khairil Nizam Khiruddin melakukan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Jalan Hang Tuah. Pertemuan tersebut dianggap sebagai satu inisiatif untuk merealisasikan budaya politik matang dan sejahtera yang telah mula diperkenalkan oleh PAS pada tahun ini. Ia juga adalah kesinambungan daripada beberapa ‘engagement’ politik yang pernah dijalinkan sebelum ini antaranya pertemuan bersama Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Mufti Wilayah Persekutuan. 

Kehadiran delegasi DPPWP disambut oleh DSP Datuk Abdul Hamid bin Mohd Ali, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur dan barisan pegawai tertingginya. Turut hadir dalam pertemuan itu adalah Saudara Nurul Islam Mohd Yusoff (Timbalan Ketua DPPWP), Ustaz Mohd Farkhan Md Zin (Naib Ketua DPPWP) dan Pengarah Alternative Riding Club Dewan Pemuda PAS Malaysia. Objektif utama kunjungan hormat ini adalah untuk menyampaikan empat poin penting iaitu mengenai kebimbangan ancaman terorisme dan radikalisme khususnya di Kuala Lumpur, penularan jenayah keganasan, kewibawaan institusi kepolisan dan saranan beberapa program kolaborasi pemuda PAS dengan PDRM.

Pertama, kes-kes yang disifatkan sebagai ancaman radikalisme seperti yang berlaku di Pusat Hiburan Modiva Puchong, ancaman bom di Jalan Alur Bukit Bintang dan sekitar persiaran KLCC telah menjadi satu ‘alarm’ kewaspadaan terhadap kumpulan pengganas yang kini sedang giat membina jaringan di Asia Tenggara. Meskipun Malaysia berada di kedudukan ke-49 berbanding Thailand (10) dan Filipina (11) (Indeks Keganasan Global 2015, The Institute for Economics and Peace) daripada aspek risiko ancaman keganasan, namun kebarangkalian ancaman tersebut berlaku dilihat semakin tinggi sekarang.

Menurut Datuk Abdul Hamid, pihak polis telah meningkatkan keberadaan anggota-anggotanya di seluruh Kuala Lumpur untuk mengawal dan meningkatkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat. Pihak polis turut mengalu-alukan kerjasama dengan DPPWP untuk menganjurkan program penerangan bagi menjelaskan ancaman keganasan di Malaysia kepada masyarakat. pihak DPPWP menggesa agar pihak polis menginovasikan pelbagai langkah preventif termasuk penggunaan teknologi yang canggih untuk menghidu sebarang unsur-unsur keganasan yang cuba dilakukan di sekitar Kuala Lumpur. Kempen kesedaran termasuk langkah-langkah awal keselamatan mesti dipromosikan supaya rakyat dipersiapkan dengan informasi yang sewajarnya.

Kedua, DPPWP menzahirkan kebimbangan terhadap jenayah keganasan seperti insiden tembak mati yang kini telah mencecah lebih 10 kes sepanjang tempoh Januari hingga Julai 2016 di Kuala Lumpur. Kami turut tidak menolak bahawa jenayah keganasan berkemungkinan didalangi oleh sindiket kumpulan mafia. Hal ini berasas kerana data daripada Kementerian Dalam Negeri pada tahun 2015 menunjukkan 24 daripada 49 kumpulan kongsi gelap bergiat aktif di Kuala Lumpur. Malah, jumlah keahlian mereka yang berdaftar pula dianggarkan sekitar 20,000 orang. Dominasi kumpulan mafia di kawasan-kawasan tertentu boleh meningkatkan persepsi tidak aman dalam kalangan masyarakat.

Respons daripada pihak polis menyatakan bahawa operasi membanteras geng kongsi gelap merupakan satu operasi berterusan seperti Op Cantas. Selain itu, pihak polis telah menubuhkan sebuah jabatan baharu iaitu Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Awam (JPJKA). Ia adalah satu program ‘outreach’ untuk menjayakan agenda Kepolisan Komuniti dan memperbanyakkan agenda-agenda ‘downstream’ bersama penglibatan masyarakat.

Ketiga, DPPWP menggesa supaya pihak polis untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana anggota yang terlibat dalam salah guna kuasa seperti yang telah dilaporkan di media-media. Rakyat akan hilang kepercayaan terhadap pihak polis dan mereka akan cenderung untuk mengambil tindakan sendiri dalam kes-kes menangani jenayah.

Maka, dalam hal ini, DPPWP tetap mencadangkan kepada pihak polis untuk merevisi semula dan melaksanakan cadangan yang telah dilontarkan sepuluh tahun lalu dalam The Independent Police Complaints and Misconduct Commission (IPCMC). IPCMC diyakini boleh menjadi mekanisme luaran yang akan mengukuhkan kredibiliti institusi polis di negara ini. Penubuhan Enforcement Agency Integrity Commission (EAIC) jelas tidak kompeten untuk bertanggungjawab dalam hal-hal tersebut.

Terakhir, DPPWP turut membawa hasrat Alternative Riding Club (ARC) DPPM untuk mendapatkan khidmat latihan daripada pihak polis dan juga pengiktirafan kepada kumpulan EXPERT ARC yang bertugas sebagai kumpulan pengiring bermotor. Datuk Abdul Hamid akan membawa hal tersebut kepada pihak yang lebih berautoriti dan menyemak dasar-dasar PDRM yang sedia ada untuk dilaksanakan. Pada masa yang sama, ARC ditawarkan untuk mengemukakan beberapa modul untuk memimpin kumpulan ‘mat motor’ ke arah jalan yang lebih baik. Pihak polis juga dijemput untuk menghadiri program tahunan ARC yang akan diadakan di Port Dickson dalam masa terdekat.

Pertemuan hampir dua jam tersebut dijalankan dalam suasana yang sangat muhibah. DPPWP turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Amar Singh Ishar Singh atas pelantikan beliau sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baru berkuatkuasa pada bulan Mac yang lalu. Pihak kami menyanjungi keterbukaan beliau dalam beberapa tindakan terutamanya dalam mengendalikan kawalan demonstrasi di sekitar Kuala Lumpur. Kami sangat berharap agar kepimpinan Datuk Amar Singh mampu menggerakkan pasukan polis Kuala Lumpur ke arah yang lebih hebat dan berwibawa. - HARAKAHDAILY 18/8/2016

Penulis ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Share on Myspace