Sukan: Formula untuk menyatukan anak muda

HARAKAHDAILY | .

Sports have the power to change the world. It has the power to inspire, the power to unite people in a way that little else does. It speaks to youth in a language they understand. - Nelson Mandela

Pada 24 Jun 1995, sejarah tercipta ketika Nelson Mandela, Presiden Afrika Selatan, menyampaikan trofiWilliam Webb Ellis kepada ketua pasukan ragbi Afrika Selatan setelah menjuarai kejohanan Piala Dunia Ragbi 1995.

Dalam suasana dasar apartheid yang masih menebal di Afrika Selatan, Mandela turut menggayakan jersi ‘Springboks’ yang sinonim dengan jersi golongan berkulit putih, dan melambai-lambai ke arah pasukan Afrika Selatan sebaik wisel penamat ditiup.

Seisi stadium bergemuruh dengan sorakan dan tepukan, dan buat pertama kalinya tidak kira warna kulit, putih atau hitam, seluruh rakyat sama-sama meraikan kejayaan Afrika Selatan.

Peristiwa ini menjadi noktah paling penting yang mengubah lanskap politik perkauman di Afrika Selatan. Inilah kuasa sukan yang mampu menyatukan dan mengubah politik negara.

Situasi yang sama juga dapat dirasai di Malaysia.

Ketika sebuah pasukan bola sepak negeri berentap di pentas akhir Piala Malaysia, semua penyokong akan bersatu bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan negeri tersebut, tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

Sebaik trofi kemenangan dijulang, semua rakyat akan berkongsi rasa bangga terhadap kejayaan yang dikecapi bersama.

Begitulah juga ketika pemain badminton negara berentap di pentas akhir Piala Thomas mahupun Sukan Olimpik, seluruh negara akan berkongsi satu harapan dan cita-cita untuk mencapai kemenangan.

Saat paling indah adalah apabila Jalur Gemilang berkibar megah, seluruh penyokong akan berdiri dan menyanyikan lagu Negaraku dengan penuh bangga, tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

Inilah semangat yang perlu disemai di kalangan anak muda Malaysia. Harapan untuk melihat Malaysia berdiri megah di persada dunia.

Justeru, sebagaimana kita boleh bersatu untuk memenangkan pasukan negara, anak muda juga wajar bersatu untuk mengalahkan sebarang bentuk diskriminasi, eksploitasi dan korupsi yang merosakkan negara.

Kita tidak mahu pada suatu hari nanti, kita mewarisi Malaysia yang digelar ‘Negara Gagal’ (Failed Nation), kerana Malaysia mempunyai segala ramuan terbaik untuk menjadi sebuah ‘Negara Berjaya’.

Sukan, formula untuk menyatukan anak muda ke arah Malaysia yang lebih sejahtera.

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi DPPM
18 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 18/8/2016

Share on Myspace