Jerung sudah ditangkap, bila pula bapa jerung

USTAZ IDRIS AHMAD | .

TAHNIAH SPRM yang telah berjaya mengekalkan rekod cemerlang dengan menangkap jerung besar di kalangan tiga pegawai tinggi. Terus serbu, jangan peduli  walaupun Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengatakan pegawai yang ditangkap seorang yang dedikasi terhadap tugas. Rakyat tetap bersama SPRM, walau pun kita sedar SPRM mempunyai kekangan kuasa.

Kita mengharapkan supaya akan terdedah pula siapa bapa jerung di belakang mereka. Adakah mereka berani berbuat demikian? Adakah mereka hanya dikambinghitamkan sahaja? Kalau mereka pun sudah dapat mengumpul RM13 juta, sehingga ada yang disimpan di atas siling rumah sebanyak RM400,000.

Ertinya berapa banyak wang negara musnah. Berapa juta ketirisan wang negara hilang akibat perbuatan ini. Apakah banyak lagi habuan yang diperoleh oleh orang lain. Semuanya akan terjawab apabila dibicarakan nanti.

Saya pernah menyebut di dalam parlimen, supaya pegawai mesti ada keberanian untuk tidak mengikut arahan daripada mana-mana orang atasan, kecuali dengan bertulis. Kerana banyak sejarah  penangkapan rasuah yang terlibat hanya pegawai.

Mungkin kerana takut, atau hendak mengampu atau hendak naik pangkat. Apabila jadi seperti begini siapa yang akan menanggung akibat. Maruah kelurga, masyarakat akan ingat sampai mati.

Lebih malang lagi kebanyakan yang sudah masuk umur pencen, sudah tua. Nikmat hidup pun sudah tidak seberapa. Apakah berbaloi dengan pengakhiran hayat begitu rupa? Makanlah apa yang ada, jangan tamak. Yang paling penting rasuah dan penerima rasuah tempatnya di dalam neraka.

Indeks rasuah negara yang dikeluarkan oleh Transparency International untuk tahun 2015 masih teruk daripada kedudukan 50 tahun 2014 kepada kedudukan yang ke-54. Skandal 1MDB, RM2.6 bilion, pendedahan DOJ kesemuanya tidak membantu untuk memperbaiki indeks rasuah pada pandangan dunia. Bapa borek anak rintik. – HARAKAHDAILY 19/8/2016

Share on Myspace