PM307 Bertam: MB Terengganu mesti berani

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu melahirkan rasa kecewa dan dukacita apabila kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman menafikan kawasan telaga minyak PM307 Bertam itu milik Terengganu.

Pesuruhjayanya, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata berdasarkan kenyataan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bahawa telaga minyak Bertam itu milik negeri ini.

Bahkan, katanya pengakuan hak milik PM307 Bertam itu kepunyaan Terengganu dibuat oleh pemimpin kerajaan ketika itu di Dewan Undangan Negeri (Dun).

Menurutnya, telaga minyak berkenaan masih berada dalam kawasan sempadan negeri ini yang terletak di laut Kemaman.

“PAS negeri Terengganu rasa dukacita dengan apa yang diumumkan oleh Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman berkait dengan isu telaga minyak PM307 Bertam yang seolah-olah bukan milik kerajaan negeri.

“Kita rasa cukup kecewa sebab berdasarkan kenyataan bekas Menteri Besar lalu, Datuk Seri Ahmad Said dengan secara jelas dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu termasuk media menyebut bahawa PM307 Bertam itu berada di perairan hampir dengan Terengganu.

“Sampai hari ini isu Bertam 307 itu masih tidak dapat diselesaikan,” ujarnya ketika bercakap pada sidang media di pejabat PAS negeri di sini, semalam.

Beliau turut mendesak agar Menteri Besar itu agar berani mempertegaskan hak milik Bertam kerana melibatkan kedaulatan negeri ini.

“Kita harap Menteri Besar kena berani mempertegaskan kerana ini melibatkan hak dan kedaulatan negeri Terengganu bahawa telaga minyak Bertam merupakan milik kita dan royalti sepatutnya dibayar kepada kerajaan negeri Terengganu,” tegasnya.

Ustaz Satiful Bahri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka juga mempersoalkan kenapa bayaran hasil minyak dan gas di Sabah dan Sarawak dinamakan royalti tetapi Terengganu sebagai ‘wang ehsan’.

Malah, katanya kedua-dua negeri itu dengan tegas mahukan agar hak royalti tersebut dinaikan kepada 20 peratus oleh kerajaan persekutuan.

“Terakhir ini, Sarawak tetap komited dan diputuskan dalam sidang Dun Sarawak untuk menuntut 20 peratus daripada royalti minyak.
“Kenapa Sabah dan Sarawak dibayar royalti, kenapa disebut ‘ehsan’ di Terengganu dan kita cukup kecewa dengan kerajaan negeri menarik balik saman (terhadap Petronas dan kerajaan Persekutuan) yang telah dibuat ketika pemerintahan kerajaan PAS Terengganu untuk mengetahui status sebenar yang melibatkan royalti,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 19/8/2016

Share on Myspace