Bila Azizulhasni dapat pingat, janji nak bina velodrome

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

KUALA TERENGGANU: PAS menggesa kerajaan BN Terengganu agar bukan sahaja tidak terlepas pandang tetapi perlu menepati janji-janji kepada rakyat.

Pemenang pingat gangsa acara keirin lelaki di Olimpik Rio, Azizulhasni Awang yang mendakwa Menteri Besar Terengganu tidak membantunya dan seorang lagi pelumba wanita, Fatehah Mustapa melalui catatan ‘panas’ entri di facebook baru-baru ini memalukan negeri ini.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, isu yang dibangkitkan oleh Azizulhasni itu sebenarnya memalukan negeri.

Ini kerana, katanya Terengganu merupakan sebuah negeri yang mempunyai sumber hasil yang banyak tetapi seolah-olah mengabaikan kebajikan para atlet sukan.

“Azizulhasni Awang anak Terengganu yang memberi sumbangan yang besar kepada sukan bukan hanya negara tetapi sebagai anak jati Terengganu.

“Kita harap kerajaan negeri dan pihak kementerian jangan terlepas pandang lagi dalam isu-isu seperti ini. Sebab, ianya melibatkan generasi akan datang.

“Seolah-olah kerajaan hanya ingin ambil kesempatan apabila dapat pingat. Namun, janji-janji itu tidak ditepati,” tegasnya pada sidang media di pejabat PAS negeri, di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka mendakwa pihak kerajaan turut memungkiri janji bagi membina kemudahan velodrome sejak tahun 2009.

Ketika itu, katanya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek adalah Menteri Belia dan Sukan telah mengumumkan akan membina sebuah velodrome di Dungun, Terengganu.

Harakah difahamkan, janji-janji itu dibuat bagi meraikan Azizulhasni Awang yang pernah beraksi di Olimpik, London tahun 2008.

“Kita semua sedia maklum, pada tahun 2009 ketika Datuk Ahmad Shabery Cheek menjadi Menteri Belia Sukan telah mengumumkan untuk membina velodrome di Dungun, juga kerana hendak meraikan kecemerlangan yang pernah dibuat oleh Azizulhasni.

“Pada Disember 2010 pula, telah diadakan majlis pecah tanah oleh Menteri Belia dan Sukan, kos membabit RM1.5 juta tetapi sampai sekarang masih tidak menjadi kenyataan.

“Khairy Jamaluddin pada 27 Mac 2014 lalu, telah umum hendak buat velodrome itu di Nilai, Negeri Sembilan tapi sampai sekarang tidak buat lagi.

“Apabila isu Azizulhasni dapat pingat gangsa di Olimpik, Rio Brazil, dia (Khairy) umum hendak buat pula di Terengganu ini,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 19/8/2016

Share on Myspace