Pemuda PAS Sabah seru jauhi aliran pemikiran ekstremis

HARAKAHDAILY | .

BERIKUTAN penangkapan individu terdiri daripada anak muda di beberapa buah lokasi di Sabah yang disyaki terlibat dalam menyokong aliran pemikiran ekstremis atau IS memberi isyarat bahawa pengaruh yang berbahaya ini perlu dibendung oleh semua pihak dengan kadar segera.

Ini merupakan impak negatif daripada siri keganasan dan penindasan yang berlaku di negara-negara Asia Barat yang ditaja oleh kuasa besar.

Maka, golongan muda yang bersemangat mudah bersimpati untuk menyokong fahaman melampau ini khususnya di media-media sosial untuk melakukan tindakan di luar jangkaan di tempat sendiri. Tindakan ini mampu mengugat kesejahteraan dan keharmonian seperti dikehendaki oleh Islam.

DPPNS menegaskan PAS sebagai sebuah kumpulan Islam mengamalkan konsep muwajahah silmiyyah iaitu bekerja untuk Islam secara damai mengikut kerangka sistem demokrasi dan menyeru untuk menolak sebarang fahaman melampau yang bercanggah dengan syariat Islam.

DPPNS berusaha untuk memastikan pengaruh melampau seperti pemikiran IS perlu dibendung agar keutuhan dan kestabilan negeri terus dipertahankan demi menjamin keamanan masyarakat dan mengelak dari dicemari oleh anasir-anasir luar yang membahayakan.

ZULZAIM HILMEE ABIDIN
Timbalan Ketua, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) – HARAKAHDAILY 19/8/2016

Share on Myspace