Merdeka: Anak muda selamatkan negara

SYAHIR SULAIMAN | .

"Di atas runtuhan kota Melaka, kita bangunkan jiwa merdeka. Bersatulah Melayu seluruh baka, membela hak keadilan pusaka." – Dr Burhanudin Helmi
 
Membina Jiwa Merdeka
 
Genap 70 tahun ungkapan keramat ini dikumandangkan, dan ia masih segar kedengaran sehingga hari ini. Ucapan penuh makna ini disampaikan oleh Dr Burhanudin Al Helmi dalam kongres PKMM ke-2 bertempat di Melaka pada tahun 1946.
 
Ianya bukan sekadar ucapan biasa. Di dalamnya tersirat cita-cita membangunkan jiwa anak bangsa yang merdeka, bebas daripada belenggu pemikiran dan penjajahan, demi membela prinsip kebenaran dan keadilan.
 
Namun hari ini segalanya hanya termaktub di dalam lembaran hikayat dan sejarah. Lebih malang, jasa besar tokoh-tokoh hebat perjuangan kemerdekaan cuba disembunyikan daripada tatapan anak muda.
 
Natijahnya, anak muda tidak lagi mengenal nama tokoh kemerdekaan di zaman Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dan Datuk Maharajalela, malah disembunyikan pengorbanan pemimpin kemerdekaan seperti Abu Bakar Al-Bakir, Ahmad Boestaman, Dr Burhanuddin Al-Helmi, Ishak Muhammad, Ibrahim Yakob mahupun Shamsiah Fakeh.
 
Sewajarnya, sejarah perjuangan tokoh kemerdekaan ini diangkat sebagai iktibar kepada generasi muda negara, agar dapat diwarisi semangat juang yang tinggi dan menghargai nikmat kemerdekaan yang dikecapi hari ini.
 
Anak Muda Selamatkan Negara
 
Melihat kepada perangkaan terkini, lebih 85% daripada 31.7 juta rakyat Malaysia dilahirkan selepas Merdeka pada 31 Ogos 1957. Komposisi umur rakyat Malaysia kini terdiri daripada kumpulan umur 0–14 tahun (25%), umur 15-64 tahun (69%), dan umur lebih 65 tahun (6%).
 
Bukankah sudah tiba masanya bagi generasi muda diberikan lebih peranan untuk mengemudi dan mencorak masa depan negara yang lebih sejahtera?
 
Jika dilihat Kabinet Merdeka Tunku Abdul Rahman pada tahun 1957, yang mempunyai usia purata 43.3 tahun – dengan Tunku sebagai Perdana Menteri pada usia 54 tahun, Menteri Kewangan HS Lee 57 tahun, paling tua; manakala Menteri Pelajaran Khir Johari berusia 34 tahun dan Timbalan Perdana Menteri Abdul Razak Hussein, 35 tahun.
 
Legasi ini diteruskan pula oleh Tun Abdul Razak yang mempromosikan tenaga profesional muda di dalam Umno, antaranya Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Adib Adam, Rafidah Aziz, Marina Yusof yang berada dalam lingkungan usia awal 30-an, sebagai barisan pelapis di dalam parti.
 
Teknokrat yang dinamik dan muda turut diberikan amanah dan kepercayaan. Nama-nama seperti Ani Arope, Taib Andak, Ungku Aziz, Rashdan Baba, Arshad Ayub, Ainuddin Wahid, Hassan Ibrahim, Ishak Tadin, dan Hanif Omar, telah diamanahkan dengan tugas-tugas strategik untuk menyuntik inovasi di pelbagai agensi kerajaan dan institusi pendidikan negara.
 
Situasi ini jauh berbeza di zaman sekarang, di mana usia purata anggota Kabinet Malaysia ialah 58.5 tahun, di mana separuh daripada anggota Kabinet berusia lebih 60 tahun, dipimpin oleh Datuk Seri Najib Razak yang kini berusia 63 tahun.
 
Justeru demi melangsungkan agenda membangun jiwa merdeka, anak muda perlu bangkit dengan usaha yang lebih hebat bagi meneruskan agenda Islah untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi negara yang gagal, bagi meruntuhkan dasar penindasan politik, ketidakadilan ekonomi, kebejatan sosial, dan penularan rasuah dalam negara.
 
Caranya ialah dengan konsep Adil Untuk Semua dan saling menghormati hak masing-masing, serta memanfaatkan ruang demokrasi pilihan raya untuk bersuara dan membuat pilihan, secara penuh matang dan sejahtera.
 
Anak muda, harapan untuk Malaysia merdeka. - HARAKAHDAILY 19/8/2016
 
Penulis ialah Pengarah Strategi DPPM.

Share on Myspace