Resolusi Kongres Rakyat Terengganu

HARAKAHDAILY | .

Setelah menerima usul-usus dari akar umbi rakyat, mendengar secara langsung pandangan dari seluruh sektor masyarakat melalui wakil-wakil NGOs dan NGI serta mengambil kira pandangan pimpinan dan tokoh-tokoh masyarakat, maka Kongres Rakyat Terengganu yang bersidang hari ini, 17 Zulhijjah 1437 bersamaan 20 Ogos 2016 merentasi isu-isu utama: agama, politik, pemerintahan, kepimpinan negeri, ekonomi, pembangunan, pendidikan, kebajikan, sosial, belia dan wanita,

MENGISTIHARKAN:-

1. Bersatu bagi “Membina Terengganu Sejahtera” melalui kebebasan demokrasi dan pendekatan budaya matang serta sejahtera dalam menangangi proses perubahan kepimpinan dan pemerintahan negeri bagi menjamin kestabilan dan keharmonian negeri.

2. Bertindak menyedarkan rakyat ke arah mengembalikan semula tunjang-tunjang sistem ketatanegerian yang adil dan saksama bagi semua kaum, agama dan pegangan politik melalui keluhuran Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu berpaksikan Al-Quran, Sunnah, Ijma’ Ulama’ dan Qias yang muktabar.

3. Menjadikan Islam sebagai dasar pemerintahan dan pembangunan negeri dengan usaha memartabatkan Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah melalui dukungan padu kepada pindaan Rang Undang-Undang 355 sebagai langkah pemerkasaan prasarana pelaksanaan Mahkamah Syariah di Malaysia.

4. Berusaha sedaya upaya mengembalikan hak dan kedaulatan negeri Terengganu daripada dinafikan oleh kerajaan persekutuan terutama royalti petroleum, Bertam 307 termasuk penggunaan wang rakyat negeri bagi pembangunan projek persekutuan sebaliknya menangguhkan pembinaan hospital di Dungun, Kemaman dan UniSZA yang menjadi tanggungjawab kerajaan pusat.

5. Mendesak kerajaan menubuhkan satu “Task Force” bagi merangka pelan perindustrian berpotensi besar dan mempunyai kesan multiplier dalam memacu Industri huluan dan hiliran, petroleum serta pelancongan, pertanian dan lain-lain dengan keutamaan kepada strategi merakyatkan ekonomi negeri melalui keutamaan pembukaan peluang usahawan dan kerjaya kepada anak negeri.

6. Menjadikan agenda pendidikan sebagai wahana terpenting dalam pembangunan insan secara holistik dengan mendesak kerajaan mengembalikan semula bantuan kewangan pelajaran di dalam dan di luar negara di samping mewajibkan pendidikan agama dan moral sebagai teras pembinaan akhlak dan jati diri rakyat.

7. Bertindak untuk menggesa kerajaan supaya diwujudkan segera satu badan perunding bagi pembangunan belia (generasi Y) yang inklusif merentasi semua kluster, demografi dan etnik penduduk negeri ini agar mencapai tahap glokal setanding dengan negeri-negeri maju di Malaysia.

8. Menggesa kerajaan negeri agar memperkasakan Jabatan dan Agensi Pembangunan Wanita bagi menjamin penyertaan yang adil dan saksama kepada golongan wanita dalam semua sektor disamping menjamin kebajikan dan keselamatan wanita melalui pemerkasaan pelaksanaan Undang-Undang Keluarga Islam di negeri ini.

Bagi menggerak dan merealisasikan resolusi tersebut, maka seluruh lapisan rakyat dengan dipimpin oleh NGO serta pimpinan masyarakat menggagaskan:

AGENDA BERTINDAK:-

1. Menubuhkan pasukan petugas khas bagi setiap sektor isu rakyat untuk diambil langkah susulan.

2. Menghasilkan sebuah Memorandum Rakyat Terengganu untuk dipanjangkan kepada peringkat tertinggi pemerintahan dan kerajaan negeri serta kerajaan pusat dengan tujuan untuk melaksanakan semua usul yang dinyatakan dalam Kongres Rakyat Terengganu.

3. Mengadakan dialog dengan jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan serta swasta yang berkaitan berdasarkan isu-isu rakyat bertujuan mewujudkan solusi bersama.

4. Menganjur perhimpunan rakyat berdasarkan isu utama yang dibangkit bagi memperteguhkan dukungan rakyat terhadap semua isu yang diperjuangkan.

5. Menubuhkan Sekretariat Tetap Kongres Rakyat Terengganu bagi mengambil langkah susulan dan menjadi pusat mobalisasi rakyat melalui jaringan-kebersamaan NGOs, jabatan dan agensi kerajaan serta swasta.

SEKRETARIAT KONGRES RAKYAT TERENGGANU
TERENGGANU EQUESTRIAN RESORT
PADA 20 OGOS 2016

Share on Myspace