RUU 355: 'Orang itu tidak faham apa itu perlembagaan'

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menempelak pihak tertentu yang mendakwa Rang Undang-Undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta 355 yang dibentangkan beliau di Parlimen pada Mei lalu sebagai tidak kemas dan bersifat umum.

Beliau menyifatkan ia adalah pandangan daripada pihak yang tidak memahami perbezaan antara perlembagaan dan undang-undang secara jelas.

Katanya, apa yang dibawa itu menyentuh perlembagaan yang sememangnya bersifat umum, berbeza dengan undang-undang itu sendiri, lapor Buletin Online.

“Itu adalah perlembagaan. Perlembagaan mesti umum. Orang itu tidak faham apa itu perlembagaan dan undang-undang,

“Yang kita ini undang-undang, perlembagaan lain. Kena faham. Ini perlembagaan, mana ada perlembagaan ‘detail’, perlembagaan kena umumlah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berucap merasmikan penutup Kongres Rakyat Terengganu di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Terengganu, semalam.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Marang itu berkata, pihaknya bersedia berjumpa mana-mana pihak untuk memberi penjelasan berhubung perkara itu termasuklah Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang pernah membantah RUU sebelum ini.

MPM sebelum ini membantah RUU persendirian yang akan dibawa Ahli Parlimen Marang itu dengan menganggap ia tidak sah dan tidak berperlembagaan.

“Sepatutnya dia (MPM) berjumpa dengan kitalah, bukan berjumpa dari jauh. Kita bersedia berjumpa dengan semua pihak,” kata Tuan Guru Abdul Hadi.

Beliau berkata, PAS pernah mengadakan seminar bagi memberi kefahaman mengenai pelaksanaan hukum hudud beberapa tahun lalu.

Dan terbaharu kata beliau, golongan bukan Islam Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) telah datang sendiri ke rumah beliau di Marang, mendapatkan penjelasan lanjut berhubung RUU.

Ditanya berhubung tindakan negatif pihak tertentu yang mengumpul sebanyak sejuta tandatangan bagi menolak RUU terbabit, beliau berkata pihaknya tiada masalah dan menyifatkan undang-undang tidak menghalang pelakuan tersebut.

Walaupun turut mempersoalkan tindakan bukan Islam untuk menggagalkan pembentangan terbabit yang tidak berkait dengan komuniti itu sama sekali, beliau memberitahu bahawa tidak kurang juga yang menyokong kerana faham isu yang dibawa.

“Saya dimaklumkanlah ada orang bukan Islam yang sokong. Ada berjumpa dengan saya dan ada bukan Islam yang menyokong. Ini hak orang Islam kerana mengikut peruntukkan perlembagaan, mahkamah syariah boleh menghukum orang Islam sahaja, tidak boleh orang bukan Islam,” katanya.

Share on Myspace