Wanita Patani jual cincin permata di Madinah

ASLANI M | .

MADINAH: Menjelang musim haji merupakan detik yang ditunggu peniaga di sini bagi melariskan barangan jualan mereka.

Malah peniaga tempatan juga menghafal banyak perkataan dalam bahasa Melayu. Paling mudah disebut mereka 'murah-murah, Malaysia Boleh dan jangan marah.

Selain peniaga tempatan dalam kalangan penduduk keturunan Arab, ramai juga kaum Badawi terutamanya perempuan berniaga secara kecil-kecilan.

Mereka menjual pelbagai jenis kain, pakaian dan alatan ibadat lain. Tidak perlu memiliki gudang perniagaan sendiri, sebaliknya menghampar tikar atau menggunakan gerai beroda.

Mereka bergerak dari satu tempat ke tempat lain terutamanya selepas setiap waktu solat fardu. Namun ketika melayan pelanggan, mata mereka sering menjeling ke arah anggota polis.

Ada ketika belum sempat pelanggan membayar, peniaga terbabit tiba-tiba membungkus barangan jualan setelah melihat kelibat anggota polis.

Di tengah-tengah kelompok golongan peniaga terbabit, kita juga boleh temui peniaga perempuan yang bertutur dialek Kelantan.

Mereka menjual barangan kemas untuk wanita, cincin dan batu permata di lorong masuk ke lobi hotel dan kaki lima kedai.

"Kami berasal dari Patani, Thailand dan sudah tinggal di sini," ujar peniaga terbabit ketika ditemui di kaki lima hotel.

Ada cincin lelaki yang dijual dengan harga SR20 dan cincin wanita SR5 sebentuk.

Malah kedai di bawah hotel yang menjual barangan kemas sering menjadi tumpuan jemaah haji wanita dari India, Pakistan dan Indonesia.

Kehadiran jemaah haji dari seluruh dunia seumpama musim durian runtuh kepada peniaga di Madinah.

Harga makanan pula agak terasa iaitu setiap potong kek dijual dengan SR1. Begitu juga roti tempayan dengan kuah ayam SR12.

Sementara itu kerja-kerja membersih Masjid Nabawi dilakukan siang dan malam. Jam 2 pagi petugas sudah berpadu tenaga melakukan kerja-kerja membersih.

Sebahagian besar pekerja terbabit berasal dari Bangladesh dan Pakistan. – HARAKAHDAILY 21/8/2016

Share on Myspace