Kongres Rakyat Terengganu berjaya angkat isu rakyat

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

Kongres Rakyat Negeri Terengganu pada 20 Ogos 2016, yang telah menghimpunkan lebih 60 NGO dan disertai lebih 2,000 peserta dari pelbagai lapisan dan kelompok, telah berjaya mengangkat isu-isu rakyat yang menyeluruh dan menjadi medan rakyat negeri tersebut membangkitkan suara mereka yang selama ini diketepikan dan menjadi keresahan di negeri Terengganu.

Kongres Rakyat (KR) peringkat negeri ini adalah kali ketiga setelah dua negeri sebelum ini melaksanakan perhimpunan iaitu Kedah dan Pulau Pinang. Inisiatif ini bertujuan untuk mendengar pelbagai kelompok rakyat dari pelbagai sektor untuk memberikan pandangan mereka mengenai isu yang menyentuh kepentingan rakyat.

Beberapa isu utama yang berkait dengan ekonomi, politik, kebajikan, pendidikan, sosial, pembangunan serta generasi muda dan wanita telah berjaya diketengahkan oleh wakil pelbagai sektor yang berkenaan.

KR Terengganu mengambil perhatian kepada isu Felda dan pembangunan tanah. Ternyata keresahan peneroka terhadap pengurusan Felda yang kini membebankan mereka dengan hutang bernilai ratusan ribu ringgit telah disuarakan dalam persidangan itu. Lebih malang mereka tidak diberi penyata terperinci mengenai hutang yang ditanggung. Ditambah lagi hutang itu diwarisi pula kepada generasi kedua Felda. Jika ditambah dengan kos tanam semula, peneroka Felda akan terbeban dengan hutang yang berganda. Kongres Rakyat dengan itu mendesak agar hutang tersebut dikaji semula.

Kongres juga mengambil perhatian serius terhadap projek perumahan generasi kedua Felda yang terbengkalai. Janji kerajaan menyediakan perumahan untuk generasi kedua Felda ternyata gagal ditunaikan apabila tinjauan menunjukkan beberapa tapak projek perumahan di Terengganu kini terbiar.

Aduan rakyat terhadap pencerobohan di kawasan hutan simpan negeri Trengganu juga dibangkitkan kerana mereka yang bertanggungjawab telah menyalahgunakan kuasa. Jabatan Hutan Negeri sendiri menyarankan agar hutan tidak dikeluarkan dari warta hutan simpanan, namun Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri telah meluluskan pembalakkan dilakukan dalam hutan simpanan yang ada di Terengganu.

Kongres ini juga membahaskan isu pindaan RUU 355 yang menuntut agar semua ahli parlimen menyokongnya untuk diluluskan dalam sidang Dewan Rakyat pada Oktober ini. Status bidang kuasa Mahkamah Syariah yang terbatas selama 60 tahun telah tidak diberi peluang untuk dipinda. Kongres menegaskan jika hak agama orang bukan Islam boleh dijamin kenapa hak umat Islam di negara ini untuk mendapat peluang menjalani kehidupan berdasarkan syariat dinafikan.

Isu kesihatan juga diangkat sebagai isu yang penting dalam mencapai kesejahteraan rakyat. Status hospital di Terengganu berkaitan dengan prasarana yang masih jauh dari mencukupi serta bilangan dan penempatan doktor pakar tidak dimemadai , dilihat sebagai faktor yang menunjukkan kerajaan tidak melihat kepentingan kesihatan rakyat sebagai keutamaan.

Wakil kluster kesihatan juga mengungkit isu kesihatan sosial. Rakyat melihat kerajaan tidak memberi tumpuan kepada punca gejala sosial yang semakin berleluasa seperti zina, dadah, buang bayi dan seks bebas. Kongres menyarankan Dasar Keluarga Darul Iman digubal dengan mengguna pendekatan menyelesaikan gejala dari sumbernya.

Wakil kluster wanita telah membicarakan soal penindasan dan diskriminasi yang terus wujud dalam negara. Pemerkasaan undang-undang perlu dilakukan dengan bersungguh untuk mengelak kaum wanita teraniaya. Aduan mengenai kurangnya penekanan diberi kepada sokongan wanita dan isu nasib ibu tunggal dan tuntutan hak selepas cerai diungkap dalam perbahasan kongres itu. Kerajaan didesak supaya memberi perhatian kepada keberkesanan sokongan keluarga yang sangat perlu dipertingkatkan.

Isu yang membabitkan hak milik hartanah, penguatkuasaan nafkah oleh perintah mahkamah dituntut supaya diberi perhatian serius. Termasuk isu pembubaran perkahwinan dalam kes pasangan yang memeluk Islam, pembahas membentangkan usul agar undang-undang Islam ditegakkan sementara yang bukan Islam tidak dinafikan haknya. Soal galakan penyusuan ibu, cuti bersalin yang perlu dipanjangkan tempohnya dan cuti kematian suami dituntut supaya dipertimbangkan oleh kerajaan.

KR Terengganu memberi perhatian mengenai kemungkaran ekonomi yang semakin menjejaskan kehidupan rakyat Malaysia amnya dan negeri Trengganu khususnya. Beberap isu uatama telah disuarakan termasuk hutang negara yang memuncak, kepincangan pengurusan 1MDB, kejatuhan pendapatan petroleum dan nilai matawang ke tahap paling rendah, penguatkuasaan GST, kenaikan kos sara hidup, pembuangan pekerja tempatan dan pengambilan pekerja asing adalah antara isu utama yang dibentang.

Isu penguncupan bajet negeri Trengganu, sementara projek-projek dianugerah kepada kroni BN telah memburukkan lagi ekonomi negeri. Rakyat kini merasa tekanan ekonomi yang berat sehingga keperluan perbelanjaan seharian seperti kos makanan menjadi sangat berat bagi rakyat.

KR juga mendengar isu budaya berbelanja di dalam masyarakat yang perlu diperbetulkan. Pemimpin negara gagal menunjukkan budaya berbelanja yang berhemat . Mereka kelihatan berlumba berbelanja mewah seperti acara kenduri, sambutan sosial, pakaian, kereta mewah, bercuti di luar negara dan membeli rumah kediaman mewah.

Sementara itu, Terengganu juga kini menghadapi masalah bekalan air yang kritikal di beberapa kawasan. Akibatnya rakyat Trengganu berhadapan dengan ketidakstabilan bekalan air. Pengurusan bekalan air yang tidak efesien, jelas telah menjejaskan ratusan ribu penduduk negeri Terengganu. KR melahirkan kekesalannya bila peruntukan berbilion ringgi dari kerajaan Pusat disalurkan untuk projek bekalan air, namun krisis masih tidak dapat diatasi.

Sementera itu, isu bekalan makanan dari sektor pertanian juga menjadi isu yang dibentangkan. Terengganu ternyata menghadapi defisit hasil pertanian. Negeri itu berdepan dengan kebergantungan kepada hasil pertanian dari luar. Projek yang dibangunkan oleh kerajaan sendiri gagal. Akibat perancangan yang tidak rapi dan wujud tindakan yang gopoh, terdapat projek pertanian yang menjadi gajah putih. TADC iaitu anak syarikat kerajaan negeri tidak dapat menghasilkan impak yang positif kepada ekonomi pertanian negeri. Puluhan juta dibelanjakan, namun sehingga hari ini syarikat yang ditubuhkan menanggung kerugian. Akibat tidak ada kepakaran dalam pengurusan, banyak pelaburan projek pertanian oleh kerajaan juga gagal. Kongres mendengar pembentangan mengenai banyak jentera pertanian di negeri Terengganu tidak berfungsi kerana tidak dapat diperbaiki akibat ketiadaan bajet.

Dalam sektor kebajikan, KR Terengganu juga mendengar nasib bekas tentera yang tidak diberi layanan untuk mendapatkan tapak rumah dan tanah untuk mereka menyara hidup mereka selepas berkhidmat. Aduan bahawa Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tidak membantu bekas tentera disuarakan oleh wakil berkenaan. Malah ada kes elaun khas berkhidmat atas nama misi PBB di luar negara juga tidak dibayar kepada anggota yang bertugas, sebaliknya gaji mereka pula yang dipotong untuk menampung kos cuti dan tiket.

Isu pengambilan pekerja asing dan pekerja tempatan dibuang dalam sektor gas dan minyak negara dibangkitkan kerana ia jelas menjejaskan rakyat yang sepatutnya mendapat manfaat penuh dari sektor ini. Kerajaan dituntut mengkaji implikasi dari tindakan ini demi masa depan sektor tersebut.

Pendidikan dan pembangunan insan telah dibentang yang meliputi beberapa isu utama iaitu pemberhentian biasiswa dan pinjaman kepada pelajar yang baru mendaftar di IPT luar negara, mengkaji semula pendidikan moral dalam sistem pendidikan negara, membangunan institusi pengajian di Terengganu yang berteraskan Islam, menghentikan pelaksanaan DLP yang akan menyisih Bahasa Kebangsaan, jadikan Islam sebagai teras dalam semua program di institut kemahiran negara, kaji tahap penghayatan Islam dalam kalangan pelajar dan menuntut kerajaan negeri mengembalikan bajet pendidikan yang telah dipotong.

Politik dan kempimpinan negeri Terengganu dilihat tidak stabil. Banyak ketidaktentuan berlaku akibat krisi dalaman politik kerajaan. Ia juga telah dikaitkan dengan kegagalan kerajaan mengembalikan hak royalti minyak. Ia membawa implikasi kedaulatan negeri berdasarkan Pelrlembagaan Persekutuan. Kepimpinan politik negeri Terengganu juga dilihat lemah bila kawasan blok telaga minyak Bertam 307 telah diserah kepada Pahang. Sikap pemimpin politik Terengganu yang boros dalam berbelanja dengan projek mewah dan membazir seperti stadium dan Tasek Kenyir telah menghakis keyakinan rakyat terhadap ketelusan kerajaan. Dalam masa yang sama pengendalian projek LPT2 yang lewat dan tidak sempurna dibangkitkan kerana rakyat kini terpaksa membayar tol walaupun kemudahan lebuh raya itu tidak berkualiti sebagimana sepatutnya.

Pembentangan terakhir menyentuh soal belia dan mahasiswa. Isu yang dibangkitkan termasuk soal pengangguran di mana Trengganu merupakan negeri kedua tertinggi kadar pengganguran. Wakil kelompok ini juga mengungkap isu gejala sosial dalam kalangan generasi muda yang berleluasa di negeri ini seperti buang bayi, rempit, penagihan dadah. Wakil juga menuntut supaya pemimpin negara dan negeri menunjukkan budaya politik yang sihat. Kepincangan dan politik korup kini telah menyebabkan belia mengambil sikap bebal kepada politik negara. - HARAKAHDAILY 22/8/2016

Share on Myspace