Atasi segera masalah banjir di Kuala Jalan Baru P Pinang

S.M.MOHAMED IDRIS | .

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Pulau Pinang dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di Kuala Jalan Baru, Balik Pulau di sini.
 
Kejadian itu berlaku berpunca daripada keadaan sistem saliran di kawasan berkenaan gagal berfungsi dengan berkesan menyebabkan air dari sungai serta parit di sini melimpah ketika hujan dan membanjiri kawasan tersebut.
 
Selain beberapa buah rumah dilanda masalah ini, tanaman dan kebun sayur yang diusahakan oleh penduduk tempatan juga turut rosak.
 
Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati keadaan sungai yang ditumbuhi rumput tebal dan dicemari dengan sampah sarap serta sistem saliran yang cetek akibat mendapan menjadi punca banjir sering berlaku kawasan ini.
 
Selain itu keadaan ban yang rendah menyebabkan air sungai di sini mudah melimpah dan menerjah masuk ke perkampungan dan kawasan pertanian penduduk. Selain Kuala Jalan Baru, masalah ini turut menjejaskan Kampung Sungai Rusa dan Kampung Permatang Pasir.
 
CAP berharap pihak berkenaan memberi perhatian serius terhadap masalah ini dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani punca kejadian tersebut. “Kami kesal walau pun masalah itu sudah lama berlaku namun ia masih berlarutan hingga sekarang”.
 
CAP meminta supaya parit dan sungai di kawasan ini dibersihkan dan diperdalamkan agar air dapat mengalir lancar ketika hujan. Manakala kedudukan ban yang rendah perlu dibina lebih tinggi bagi mengelak berlakunya limpahan air ke kawasan perkampungan dan pertanian berhampiran.
 
CAP bimbang jika keadaan dan punca kejadian ini dibiarkan ancaman banjir yang lebih buruk akan melanda kawasan tersebut pada masa akan datang. Lebih kemusnahan harta benda penduduk akan berlaku dan kerugian lebih besar akan dialami mereka.
 
Justeru CAP mencadangkan agar kerajaan negeri,Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan JPS membuat kajian terperinci dan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian banjir di sini dan kawasan-kawasan lain di Pulau Pinang. – HARAKAHDAILY 22/8/2016

Share on Myspace