'Orang tua pangkah dacing sejak zaman kapal layar'

HARAKAHDAILY | .

GOMBAK: Buat julung kalinya kira-kira 50 orang anak-anak Jabi di perantauan sekitar Lembah Kelang dihimpunkan dalam satu program ‘Jupo Mato Anok-Anok Dun Jabi’, semalam.

Pengarah program merangkap Ketua Unit Pengundi Luar dan Pos Jabatan Pilihanraya Dun Jabi, Mohd Rosdi Ibrahim menyatakan bahawa tujuan program ini diadakan adalah untuk merapatkan silaturahim antara sesama anak Jabi yang berada di perantauan.

Tambah beliau lagi, program ‘Jupo Mato’ (bertemu mata) di Lembah Klang ini adalah siri yang kedua seumpamanya setelah sebelum ini pernah diadakan di Kuantan. Perancangan seterusnya ialah ke selatan tanah air di Johor Bharu.

Jamuan nasi dagang yang disediakan oleh tukang masak yang dibawa khas dari Jabi menjadi menu pembuka selera sambil beramah mesra antara perantau yang hadir.

Majlis berlangsung dengan agak meriah dalam suasana santai penuh kekeluargaan yang turut diserikan dengan kehadiran pimpinan Majlis Tindakan Dun Jabi, Ulamak, Pemuda dan Muslimat.

Pengarah Majlis Tindakan Dun Jabi, Dr Azman Ibrahim ketika berucap meraikan anak-anak Jabi yang hadir menekankan tentang peri pentingnya peranan yang perlu dimainkan bersama demi untuk melihat kemenangan Islam.

“Setiap dari kita berada di suatu sudut yang berbeza di medan ini. Kita perlu jaga sudut masing-masing supaya tidak dicerobohi. Orang-orang tua kita telah meletakkan satu asas perjuangan yang kukuh di kampung halaman dengan segala susah payah dan pengorbanan.

"Tinggal kita generasi anak-anak meneruskan lagi kerja-kerja ini dengan matlamat yang paling tinggi untuk melihat syariat Allah didaulatkan,” tegas Dr Azman.

Anak-anak Jabi yang menyumbang bakti di sekitar Lembah Kelang terdiri dari pelbagai latar belakang pendidikan dan pekerjaan.

Dari yang berkelulusan PhD bertugas sebagai pensyarah universiti, calon sarjana, guru, anggota pasukan keselamatan, eksekutif syarikat swasta, peniaga dan pelbagai lagi.

Agak menarik apabila melihat sebahagian anak-anak Jabi yang hadir, sebenarnya ibu bapa dan orang-orang tua mereka di kampung masih merupakan penyokong tegar BN.

Walau berpendirian politik yang berbeza dengan ibu bapa, tekad mereka adalah untuk bersama menyumbang tenaga, buah fikiran dan wang ringgit demi kemenangan Islam.

“Nak buat lagu mana. Orang tua kita dah pangkah dacing sejak zaman kapal layar lagi. Payah nak ubah. Kita anak-anak pujuk slow-slow” ujar seorang perantau yang berasal dari Felda Selasih yang dikenali sebagai antara kubu kuat BN di Jabi.

Ketika mengajak anak-anak perantau Jabi merenung sejenak tentang hakikat kehidupan yang dilalui oleh saudara mara mereka di Jabi, Dr Azman menyatakan, “Jabi kampung halaman kita masih terlalu jauh ketinggalan. Sebuah mesin ATM pun tak ada di tempat kita. Bilangan rakyat miskin tegar yang memerlukan bantuan ada di segenap kampung walaupun pihak Kerajaan Negeri menyatakan bahawa bilangan rakyat miskin tegar di seluruh negeri Terengganu tak sampai 50 orang bilangannya tetapi realiti sebenar dalam masyarakat adalah berbeza. Semua ini menuntut keprihatinan kita bersama”. - HARAKAHDAILY 22/8/2016

Share on Myspace