PM perlu beritahu siapa MO1 agar tiada yang keliru

HARAKAHDAILY | .

NAMPAKNYA di kalangan Umno-BN yang keliru dengan identiti ‘Malaysian Official One’ (MO1) sehinggakan Ahli Parlimen Langkawi Datuk Ir Nawawi Ahmad mencetuskan kontroversi mengenai identiti MO1 kerana mengaitkannya dengan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Untuk mengelakkan kekeliruan berpanjangan dlam kalangan Umno-BN dan tercetusnya mangsa kedua yang dikaitkan dengan MO1, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi Umno-BN perlu memberitahu Umno-BN siapa MO1 yang sebenar.

Jika tidak boleh dinamakan, bolehlah membuat teka-teki dengan memberi bayangan rambut putihnya, bentuk rupanya, siapa isterinya dan juga hubungannya dengan Riza Aziz dan kedudukannya di 1MDB.

Dengan ini, sudah pasti tiada lagi ahli parlimen Umno-BN yang akan meneka seperti Nawawi yang terteka sehingga mengaitkan identiti MO1 itu kepada Agong.

Sekadar cadangan, jika Nawawi enggan memohon maaf kerana silap tekaannya, Najib perlu berjiwa besar dan memohon maaf atas pihak Umno-BN kepada Agong kerana kegagalan memberi maklumat penuh kepada Nawawi.

Saya pasti kalau Nawawi diberi maklumat yang betul, beliau tidak akan tersilap teka siapa sebenar MO1, dan Umno-BN tidak akan dimalukan lagi dengan tekaan yang jelas jauh tersasar.

Ketelanjuran Nawawi adalah bukti mengapa saranan Majlis Raja-Raja agar isu 1MDB perlu disiasat dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat secepat mungkin perlu dilaksanakan segera.

PAS mengulang gesaan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang terdiri daripada ulama yang pakar dalam ekonomi dan kewangan Islam ditubuhkan segera untuk menyiasat skandal 1MDB sebagai usaha menyelesaikan isu 1MDB dan juga membersihkan nama Agong.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
22 Ogos 2016 – HARAKAHDAILY 22/8/2016

Share on Myspace