Usul hukum loteri Umno ke persidangan ulamak

HARAKAHDAILY | .

USUL HUKUM LOTERI UMNO DIANGKAT KE PERSIDANGAN ULAMAK (22 OGOS 1951)

PADA hari ini dalam tahun 1951, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan telah mengemukakan dua usul atas nama Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno kepada Jawatankuasa Sambutan Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua yang akan bersidang pada 23 Ogos 1951.

Usul paling kritikal yang dikemukakan oleh Pengerusi Bahagian Agama Umno itu ialah tentang Loteri Umno yang sedang hangat diperkatakan oleh para ulamak kerana ia adalah satu jenis perjudian, sedangkan judi diharamkan oleh hukum syarak. Satu lagi usul beliau ialah mencadangkan penubuhan sebuah persatuan ulamak yang dapat menyatukan suara ulamak dalam membela agama di negara ini.

Isu judi loteri telah lama diperkatakan oleh para ulamak dalam Umno. Pada 7 September 1946, seorang ahli Umno, Haji Rejab Kedah telah bertanya kepada Pengerusi Pejabat Perkara Agama Umno tentang hukum loteri, diikuti oleh pertanyaan Setiausaha Agung Perikatan Melayu Perak tentang hal yang sama pada 10 Februari 1947. Pertanyaan-pertanyaan ini mempunyai kaitan dengan penganjuran Loteri MCA sebagai satu cara mengumpul dana politik. Walau bagaimanapun, pada 3 Oktober 1946, Pejabat Perkara Agama Umno yang diketuai oleh Ustaz Salleh Othman telah mengeluarkan fatwa bahawa judi loteri adalah haram pada pandangan Islam.

Walau bagaimanapun, pada 1949, Umno telah merancang untuk memindahkan Pejabat Agungnya dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur. Pembinaan Rumah Umno di Batu Road (sekarang Jalan Tuanku Abdul Rahman) dijangka menelan kos sebanyak $200,000. Untuk mengumpulkan dana ini, telah timbul cadangan supaya Umno menganjurkan loteri, tetapi ditentang oleh para ulamak.

Ekoran itu, cadangan menganjurkan judi loteri ini dibawa ke Mesyuarat-mesyuarat Agung Umno. Misalnya, pada 5 Januari 1951, akhbar Warta Negara menyiarkan keputusan Umno Kelantan yang bersetuju dengan undian untuk menghalalkan penganjuran Loteri Umno. Ekoran persetujuan cawangan-cawangan Umno ini, Loteri Umno telah dilaksanakan pada pertengahan 1951 dengan mengambil konsep kelab-kelab lumba kuda.

Marah dengan tindakan Umno ini, Persatuan Ulamak Kedah yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Hussin Che Dol yang juga Pengerusi Umno Kedah telah membuat ketetapan bahawa Loteri Umno adalah adalah haram di sisi Islam, dan memaklumkan pendirian ini kepada Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno pada 30 Julai 1951.

Pada 19 Ogos 1951, satu Persidangan Khas Alim Ulamak Pulau Pinang dan Seberang Perai yang dipengerusikan oleh Mufti Pulau Pinang, Sheikh Abdullah Fahim telah memutuskan bahawa Loteri Umno adalah haram. Pada 20 Ogos 1951, Yang Dipertua Jabatan Agama Islam Johor, Ungku Ismail Abdul Rahman pula menegaskan amalan judi yang dianjurkan oleh Umno sebagai menunjukkan Umno telah tergelincir dari al-Quran dan Sunnah. Sehingga Kesatuan Melayu Singapura (KMS) yang merupakan anggota gabungan Umno dalam mesyuarat agungnya sebelum itu telah menegaskan supaya Umno kembali kepada dasar Islam.

Ekoran desakan keras dari pelbagai pihak ini, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad yang juga Mudir Madrasah al-Masriyah, Bukit Mertajam telah mengangkat satu usul yang berbunyi "(Hukum) Loteri Umno" pada 22 Ogos 1951 kepada Persidangan Alim Ulamak Malaya. Usul yang dikemukakan atas nama Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Umno ini adalah salah satu daripada 22 usul yang diterima oleh Jawatankuasa Sambutan Persidangan untuk dibahas oleh Persidangan Alim Ulamak Malaya pada 23 Ogos 1951. Usul ini menjadi usul yang paling panas dan mendapat perhatian para ulamak ekoran tindakan Umno menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
22 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 22/8/2016

Share on Myspace