SAM, CAP bantah projek terminal perikanan

S M MOHAMED IDRIS | .

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) membantah rancangan kerajaan Kedah hendak membina Terminal Perikanan di Tebengau dekat Kuala Kedah di sini kerana ia boleh menjejaskan alam sekitar dan kehidupan nelayan pantai di kawasan berkenaan.
 
Projek mega dikenali sebagai Terminal Perikanan Bersepadu Kedah atau Kedah Integrated Fishery Terminal (KIFT) ini dibiayai sepenuhnya oleh syarikat Lu Hai Feng Development Sdn Bhd dari China dengan kos sebanyak RM1.831 bilion dan akan direalisasikan pada tahun depan selepas mendapat kelulusan Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) bulan lalu.
 
Terminal Perikanan tersebut akan dibina di atas tanah kerajaan negeri melibatkan kawasan seluas 2,340 hektar. Daripada jumlah itu dilaporkan bahawa sebanyak 1,864 hektar akan digunakan sebagai kawasan perairan dan laluan kapal manakala selebihnya akan ditambak.
 
Kami berpendapat kos bagi pembinaan projek ini adalah terlalu besar berbanding dengan kedudukan sektor perikanan negara yang semakin tergugat akibat kekurangan sumber laut dan pendaratan hasil tangkapan ikan yang merosot teruk sekarang. Pembaziran wang akan berlaku jika projek ini diteruskan.
 
Tambahan, apakah rasional untuk pembangunan satu lagi pengkalan tuna padahal pengkalan tuna di Batu Maung, Pulau Pinang bagaikan hidup segan mati tak mahu.
 
Selain itu projek ini juga akan menjejaskan kehidupan lebih 2,000 nelayan pantai sekitar Kuala Kedah dan kawasan berhampiran jika ia diteruskan. Zon A yang menjadi tempat mereka mencari rezeki akan menjadi sempit dan perairan itu mungkin mengalami pencemaran yang serius serta mengancam tempat pembiakan hidupan laut.
 
Kami amat kesal dengan keputusan kerajaan negeri ini kerana tidak memberi perhatian serius terhadap kesan buruk ke atas alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan yang akan berlaku pada masa akan datang jika projek tersebut dilaksanakan.
 
Kami berharap projek mega yang boleh mengancam alam sekitar dan menjejaskan sumber perikanan serta kehidupan nelayan ini dibatalkan segera. Projek ternakan udang di Kerpan misalnya terbukti projek ini telah gagal mencapai matlamatnya di mana sebahagian kawasan projek itu kini ditumbuhi semak samun dan terbiar.
 
Jangan ulangi kesilapan Kerpan dan Batu Maung. – HARAKAHDAILY 23/8/2016

Share on Myspace