Urus tadbir negeri lemah, rakyat menderita

HARAKAHDAILY | .

Saya cukup tertarik dengan pendedahan Dr Mujahid Fauzi dari Kluster Kesihatan dan Kebajikan semasa Kongres Rakyat Terengganu, Sabtu lepas. Beliau mengenengahkan isu prasarana kesihatan yang terpinggir berbanding dengan negeri-negeri lain dan perkara ini semestinya amat membimbangkan kita.

Isu ini sudah dibangkitkan sejak tahun 2000 lagi di sidang Parlimen. Malah setiap kali sidang dewan Dun pun boleh dikatakan isu ini selalu dibawa untuk perbahasan. Tetapi sehingga hari ini tiada tindakan dari kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri.

Setiap kali menjelang PRU upacara pecah tanah dilakukan seolah-olah hospital baru akan terbina. Contohnya projek Hospital Dungun dan Hospital Kemaman. Sehingga hari ini Hospital Dungun, hanya tinggal tunggul ceracak di tapak binaan. Sedangkan jumlah 'turn over' keperluan pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah amat mendesak. Bilangan katil pesakit yang sedia ada tidak dapat menampung pesakit yang semakin ramai. Dengan jumlah penduduk yang semakin bertambah, hanya sebuah hospital iaitu HSNZ sebagai hub rujukan seluruh negeri sudah tidak memadai. Walaupun Hospital Kemaman adalah hospital berpakar, tetapi lokasi dan prasarana amat menyedihkan. Justeru keperluan mendesak agar pembinaan Hospital Dungun dan Kemaman perlu disegerakan.

Sejak 2008 lagi, pampasan tapak tanah Hospital Marang telah selesai iaitu bersebelahan dengan Ibu Pejabat Polis yang baharu di Kijing. Saya juga mendapat maklumat bahawa tapak dan rekabentuknya juga sudah disiapkan. Pihak kontraktor hanya menunggu tandatangan menteri berkenaan sahaja.  Namun desas-desus yang mengejutkan ialah hospital ini tidak akan dibina selagi Parlimen Marang dipegang oleh Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang. Jika benar, saya sangat sedih kerana perbezaan politik dibawa sehingga mengetepikan kesihatan dan kepentingan rakyat.

Bukan sahaja hospital-hospital daerah yang tertangguh pembinaannya malah pejabat-pejabat kesihatan daerah juga mendapat nasib yang sama. Sehingga kini pejabat kesihatan Kuala Terengganu dan Setiu masih berstatus kedai sewaan. Walaupun tapak cadangan pembinaannya sudah siap, tetapi masih dibekukan setelah sekian lama. Mungkin alasan kegawatan ekonomi, tetapi saya lihat bangunan prasarana kesihatan di beberapa buah negeri lain seperti Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan dapat dilakukan dengan baik sekali. Bangunan cantik dan canggih.

Seharusnya kerajaan negeri tidak menjadikan perbezaan politik sebagai penghalang untuk pembangunan demi kepentingan rakyat. Negeri ini adalah milik bersama tidak kira apapun pakaian politiknya. Politik hanyalah untuk menentukan pentadbiran sahaja. Apabila selesai pilihan raya, maka siapapun yang menang wajib mentadbir negeri ini dengan sebaiknya. Negeri Terengganu adalah negeri yang kaya. Buktinya ialah belanjawan tahun 2016 adalah sebanyak RM2.1 billion yang hampir menyamai negeri Selangor. Tetapi saya melihat kecelaruan urus tadbir yang berlaku mengakibatkan banyak prasarana tidak dapat dibangunkan sebaiknya. Saya amat setuju dengan beberapa saranan yang dikemukakan oleh pembentang semasa kongres tersebut dengan sedikit tambahan iaitu:

1. Menyegerakan pembinaan Hospital Kemamam dan Dungun untuk memberi kemudahan kesihatan kepada masyarakat.

2. Menyegerakan pembinaan pusat kesihatan besar atau Hospital Marang, dengan mengenepikan sentimen politik kepartian.

3. Melaksanakan langkah-langkah segera bagi membolehkan pembinaan pejabat kesihatan Daerah Kuala Terengganu dan Setiu di tapak cadangan pembinaan yang sudah siap.

4. Mengambil langkah-langkah segera untuk membolehkan pembinaan segera hospital UniSZA yang sekali gus dapat menampung kepadatan penduduk di sekitar daerah Kuala Nerus.

5. Kerajaan negeri perlu tegas bertindak dan medesak agar kerajaan pusat melunaskan janji-janji dalam RMK8 sehingga RMK1.

DR MD ARIF IBRAHIM
Pengerusi Kluster Kebajikan (NGOs) Negeri Terengganu - HARAKAHDAILY 23/8/2016

Share on Myspace