Ambil kesempatan kutuk serangan di Syria dan Gaza

HARAKAHDAILY | .

Saya menggesa Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil kesempatan mengutuk tindakan kejam negara-negara tertentu yang mengakibatkan ribuan rakyat Syria dan Palestin yang terkorban sehingga ke hari ini.

Beliau akan mempengerusikan perbahasan di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang bermula pada 22 hingga 26 Ogos di New York.

Gambar viral seorang kanak-kanak lelaki, Omran Daqneesh yang berlumuran darah dan berdebu kerana serangan bom di Aleppo sudah cukup menjustifikasikan tindakan regim ke atas orang awam yang tidak berdosa. Malah, menurut laporan Local Coordination Committee (LCC), lebih 500 rakyat Syria terbunuh dalam tempoh 7 hari minggu lalu. Kita harap TPM tegas dan berani menyuarakan kutukan atas nama kemanusiaan dan keadilan.

Hari ini, di Gaza juga sedang berlaku serangan jet tentera zionis Israel dan membedil kawasan-kawasan tertentu sehingga memusnahkan kediaman dan kematian orang awam. Ramai rakyat di negara ini telah mengambil inisiatif menghantar bantuan ke negara bergolak seperti Syria dan Palestin menerusi beberapa NGO.

Kini, rakyat Malaysia mahukan penegasan politik di atas satu platform yang berautoriti untuk mengutuk tindakan kejam regim Rusia dan Amerika Syarikat sepertimana yang telah dilaporkan oleh pihak media.

Selain itu, selayaknya TPM terus menuntut keadilan di atas ruang antarabangsa yang lebih terbuka ke atas mangsa-mangsa pesawat MH17 yang terkorban pada bulan Julai 2014 yang lalu. Kita tidak mahu isu perbalahan Rusia-Ukraine menenggelamkan nasib mangsa yang terkorban.

Pra perbahasan UNSC beberapa hari lalu telah menyaksikan Rusia dan Ukraine bertikam lidah mengenai provokasi perang di wilayah Crimea, manakala laporan interim pasukan penyiasat antarabangsa MH17 yang diketuai oleh Belanda telah ditolak secara simplistik oleh Rusia.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
20 Zulkaedah 1437 | 23 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 23/8/2016

Share on Myspace