PAS ada tuannya, siapakah tuannya?

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR | .

SESIAPA sahaja boleh memasukinya dan begitu juga sebaliknya. Pintunya sentiasa terbuka untuk masuk ke dalamnya, begitu juga untuk keluar sama ada keluar secara sukarela ataupun dikeluarkan.

PAS sebuah jamaah atau parti politik yang sangat mengharap orang masuk ke dalamnya, seramai-ramainya. Tapi kalau nak masuk biarlah masuk dengan sadar bahawa PAS bukan seperti kita baru membeli rumah yang bebas nak berbuat apa sahaja.

PAS ini sebuah jamaah atau parti, ada tanzimnya, ada sistemnya, tidak boleh buat ikut apa yang kita suka dan tidak boleh paksa orang ikut kehendak kita. Mana-mana parti pun begitu, kalau kita mahu suruh orang ikut kita, kena tubuh parti baru.

Dalam PAS ada kepimpinan, tapi PAS bukan milik pemimpin, pemimpin pun kena ikut tanzim juga, bukan boleh sesuka hatinya, kerana di dalam PAS ada ahlinya yang akan menghukum pemimpin yang bertindak sesuka hatinya.

Sebagaimana ahli, pemimpinnya juga serupa tidak boleh memimpin sesuka hatinya sebab tiada siapa yang menjadi 'tuan' di dalam PAS, tidak kira Presiden, Timbalan Presiden atau sesiapa sahaja termasuklah organisasi tertinggi iaitu Majlis Syura Ulamak.

Dalam PAS ada Majlis Syura Ulamak, sebab PAS parti Islam, maka PAS perlukan Majlis Syura Ulamak untuk tafsirkan dasar parti, tetapi Majlis Syura Ulamak pun mesti buat keputusan ikut Islam juga, tidak boleh sesuka hati.

Dasar PAS adalah Islam, semua perjalanan dan keputusan parti mesti ikut Islam, pemimpin buat keputusan mesti mengikut Islam dan ahli pula taat kepada arahan pimpinannya selagi ia tidak bercanggah dengan Islam.

Tiada sesuatu keputusan boleh dibuat melainkan sesuai dengan dasarnya iaitu Islam. Apabila semuanya wajib mengikut Islam maka tiada sesiapa pun yang menjadi tuan di dalam PAS, kerana Islam ini ada tuan-Nya iaitu Allah SWT.

Manusia pasti ada kekurangannya tapi Islam pastinya sempurna, maka setiap keputusan dari PAS berdasarkan pada Islam yang sempurna, PAS hanya menumpang kesempurnaan Islam yang diturunkan oleh Allah SWT, Rabb yang memiliki sifat-sifat kesempurnaan. Suka atau tidak suka, inilah PAS. – HARAKAHDAILY 24/8/2016

Share on Myspace