Anak muda: Rumah mampu milik atau mampu lihat

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) peka dengan kemelut ekonomi yang sedang melanda negara pada ketika ini, seperti sinetron yang tidak berkesudahan, daripada kenaikan harga barang, kejatuhan wang ringgit dan ketidakstabilan politik.

Tiga krisis utama yang berlaku serentak seperti hari ini dilihat tidak pernah berlaku sebelumnya.

Di negeri Terengganu, isu pemilikan rumah PPR Padang Hiliran yang diletakkan syarat kemenangan BN dalam PRU14 akan datang untuk melayakkan pemilikan rumah tersebut adalah suatu 'ugutan melampau' daripada pihak Menteri Besar Terengganu.

Hal ini mungkin dilihat sebagai 'janji manis' untuk rakyat, namun hakikatnya, ini adalah suatu 'ugutan politik' yang amat berbahaya dan tidak seharusnya berlaku dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

Rakyat terpisah antara penyokong parti pemerintah atau sebaliknya. Mereka yang dilihat bersama parti pemerintah akan diberikan sepenuh bantuan dan kemudahan, manakala yang tidak sehaluan pula akan dinafikan segala-galanya.

Lebih malang lagi, terdapat sebilangan rakyat yang tidak mengambil bahagian dalam sama ada memberikan sokongan kepada mana-mana parti,  turut menjadi mangsa keadaan. Ia sangat bertentangan dengan semangat demokrasi berparlimen yang diterima pakai dalam negara ini.

Bukan itu sahaja, ia juga jelas bertentangan dengan hak-hak asasi manusia yang bukan sahaja diperjuangkan oleh Islam bahkan alam sejagat keseluruhannya. Hak untuk memiliki rumah kediaman dan tempat perlindungan yang selesa.

Di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman: "Dan Allah menjadikan bagi kamu rumah-rumah (yang kamu dirikan itu) sebagai tempat tinggal." (Surat an-Nahl: 80)

Rasulullah SAW juga memberikan penegasan: "Di antara tanda-tanda kebahagiaan anak Adam itu ialah isteri yang solehah, rumah yang luas dan kenderaan yang selesa. Dan di antara kebinasaannya pula ialah rumah yang sempit, isteri yang jahat dan kenderaan yang teruk." (HR Abu Dawud al-Tayalisi, Ibn Hibban, al-Tabrani dan al-Hakim)

Begitulah juga dengan Artikel 25, Deklarasi Antarabangsa Hak-hak Asasi Manusia, Artikel 11(1), Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan (ICESCR), juga Dasar Perumahan Negara dan Rancangan Malaysia ke-10 yang turut memperjuangkan hak pemilikan rumah ini.

Justeru, isu pemilikan rumah, pemberian hak milik rumah dan yang berkaitan dengannya perlulah dilihat dengan kaca mata yang adil dan saksama, kaca mata fitrah dan manusiawi dan yang lebih utama, kaca mata agama Islam, rahmat buat sekalian alam.

DPPNT menaruh sepenuh kepercayaan bahawa Islamlah solusi tunggal kepada segala kemelut yang sedang melanda negara pada ketika ini. Ia sukar untuk dihuraikan dalam kenyataan yang ringkas seperti ini tetapi berpadalah dengan mengemukakan beberapa instrumen utama Islam yang kesemuanya bertujuan untuk menjaga maslahah manusia dan memelihara mereka daripada segala bentuk mafsadah seperti pengharaman riba, pensyariatan zakat, wakaf dan pelbagai lagi.

Sebagai contoh, isu hutang anak-anak muda seawal usia 20-an kerana hutang PTPTN boleh diatasi dengan pelebaran definisi asnaf zakat yang sebenarnya disyariatkan untuk membebaskan umat manusia daripada belenggu hutang (al-gharimin).

Selain itu, DPPNT juga menggesa agar pihak kerajaan memberikan keutamaan kepada golongan belia sama ada yang baru membina rumahtangga ataupun laluan kerjaya agar impian mereka untuk memiliki rumah idaman dapat dipermudahkan tanpa sebarang kerenah birokrasi serta campur tangan politik. Memberikan kelulusan pemilikan berasaskan perhitungan yang adil dan sejahtera melalui siasatan atau penelitian yang jujur.

Kadar bayaran yang munasabah boleh diperkenalkan kepada rakyat agar mereka tidak terus dihimpit dengan pelbagai kekangan kehidupan yang makin mencengkam pada hari ini.

DPPNT sekali lagi merakamkan kekesalan yang tidak terhingga dengan corak pembelaan kebajikan rakyat yang diamalkan oleh pemimpin politik Umno Terengganu pada hari ini.

USTAZ KAMARUZAMAN ABDULLAH
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu - HARAKAHDAILY 24/8/2016

Share on Myspace