Bendera Palestin: Peminat Celtic kumpul lebih £130,000

NUR HASMIRA MOHAMAD | .

Peminat pasukan Glasgow Celtic telah berjaya mengumpulkan lebih daripada £130,000 (RM689,740) bagi badan amal kebajikan Palestin dalam usaha untuk membantu membayar denda yang dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) kerana mengibarkan bendera Palestin dalam satu perlawanan menentang pasukan kelab Israel.

Badan induk bola sepak Eropah memulakan prosiding tatatertib terhadap kelab Glasgow minggu lalu selepas beberapa peminat mengibarkan bendera Palestin semasa kemenangan pasukan tuan rumah 5-2 menentang kelab Israel, Hapoel Be'er Sheva dalam kelayakan Liga Juara-Juara.

Memetik laporan The Guardian, Celtic baru-baru ini berhadapan dengan denda UEFA ke-9 atas kelakuan penyokong dalam tempoh lima tahun apabila kes disebut pada 22 September.

Dua tahun lalu, kelab tersebut didenda lebih daripada £15,000 selepas sehelai bendera Palestin dikibarkan pada satu perlawanan kelayakan Liga Juara-juara menentang kelab Iceland, KR Reykjavik.

Menurut peraturan UEFA, tindakan yang dilakukan penyokong kelab Scotland tersebut dilarang. Menurut badan bola sepak tertinggi Eropah itu, Celtic telah melanggar peraturan yang tertera pada pasal 16(2).

Peraturan UEFA melarang penggunaan sebarang "pergerakan, perkataan, objek atau apa-apa sahaja yang memberi maksud menyampaikan mesej yang tidak sesuai untuk sesebuah kejohanan sukan, khususnya mesej politik, ideologi, keagamaan, penghinaan atau provokatif".

Para peminat Celtic memang merupakan penyokong paling vokal kemerdekaan Palestin. Tindakan mereka malam itu bukan yang pertama kalinya. Pada tahun 2012, peminat Celtic juga pernah melakukan perkara yang sama. - HARAKAHDAILY 24/8/2016

Share on Myspace