Tukar jantina: Pemuda PAS kecewa keputusan mahkamah

HARAKAHDAILY | .

DEWAN Pemuda PAS Perak (DPPN Perak) merakamkan rasa kecewa diatas keputusan Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur  yang membenarkan seorang wanita menukarkan status  jantinanya kepada lelaki.

Permintaan tukar jantina ini bukan kali pertama dimohon di mahkamah. Antara kes yang sama pernah dibicarakan Mohd Ashraf Hafiz pada 2011 dan Vasudevan a/l Ramoo tahun 2015 juga beberapa kes lain yang mahkamah memutuskan menolak permohanan mereka.

Isu ini giat diperjuangkan oleh pengamal LGBT atas hujah kebebasan hak asasi manusia. Namun implikasi membenarkan pertukaran jantina amat besar kepada masyarakat dan sangat dilarang dalam Islam kerana ia menghalang pembentukan keturunan yang baik.

Tambahan ia menggalakkan lagi budaya LGBT. Isu ini juga pernah dirakamkan dalam al-Quran berkenaan kisah kaum nabi Luth a.s.

Harus jelas perbezaan menukar jantina dengan mengesahkan jantina kerana khunsa. Hal ini dilihat kepada tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin semasa pemohon dilahirkan, dan kewujudan organ dalaman.

Dalam masa yang sama DPPN Perak turut merakamkan rasa simpati terhadap golongan yang mempunyai kecenderungan bertukar jantina ini. Faktor persekitaran seperti layanan terhadap diri, sindiran dan ejekan seperti lelaki lembut atau perempuan kasar, membesar dalam keadaan berlawanan dengan fitrah jantina menyebabkan mereka bertekad menukarkan jantina.

DPPN Perak mengingatkan agar masyarakat terutamanya ahli keluarga dan kenalan rapat seseorang yang cenderung untuk menukar jantina memahami mereka dan menjadi penguat dalam usaha mereka mencari identiti asal serta melawan kehendak nafsu yang mengusai diri mereka.

Hal ini juga bercanggah dengan hadis nabi yang diriwayatkan oleh ibn 'Abbas:

عن ابن عباس قال: عن الرسول الله صلى الله عليه وسلم المتشبهين من الرجال بالنساء والمتشبهات من النساء بالرجال.

(Riwayat Ahmad)

Rasulullah SAW melaknat orang lelaki yang yang menyerupai wanita, dan wanita yang menyerupai lelaki.

Maka kita dapat fahami larangan islam melalui hadis ini.

Bahkan Allah juga melaknat perbuatan yang menukar ciptaan Allah, sekalipun seekor binatang apatah lagi seorang manusia yang mengubah ketetapan Allah:

"Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata. (Al-Nisa':119)

DPPN Perak juga mendesak agar kerajaan mengambil perhatian serius dalam isu LGBT ini dan diharapkan tiada lagi kebenaran menukar jantina atau yang seumpana dengannya.

HAFEZ SABRI
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Perak dan Ketua Lujnah Dakwah Pemuda PAS Malaysia
24 Ogos 2016 / 21 Zulkaedah 1437H – HARAKAHDAILY 24/8/2016

Share on Myspace