Dr Burhanuddin sampaikan ucapan dasar pertama

HARAKAHDAILY | .

DR BURHANUDDIN AL-HELMY MENYAMPAIKAN UCAPAN DASAR PERTAMA MENJELANG MERDEKA (24 OGOS 1957)

PADA hari ini dalam tahun 1957, Yang Dipertua Agung PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy Mohd Noor telah menyampaikan Ucapan Dasar pertama sebagai pemimpin tertinggi PAS semenjak beliau dipilih mengetuai parti Islam ini dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Keenam pada 25 Disember 1956. Ucapan Dasar ini disampaikan dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketujuh pada 24-25 Ogos 1957. Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketujuh ini diadakan menjelang kemerdekaan negara, bagi membolehkan PAS memberikan pandangan-pandangan berkait dengan kemerdekaan negara yang akan diproklamasikan pada  31 Ogos 1957.

Dr Burhanuddin al-Helmy adalah Yang Dipertua Agung PAS yang ketiga selepas Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953) dan Dr Haji Abbas Alias (1953-1956). Beliau adalah seorang doktor homeopathy yang memegang ijazah PhD dalam bidang psikologi Islam. Tokoh yang dilahirkan di Changkat Tualang, Perak ini adalah bekas pemimpin Kesatuan Rakyat Istimewa Semenanjung (KRIS), Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan gabungan PUTERA-AMCJA, selain turut terlibat mengasaskan Umno, Hizbul Muslimin dan Parti Rakyat. Beliau yang menjadi Penasihat Agama dan Adat Istiadat Melayu di Markaz Tentera Jepun di Taiping dan dipenjara beberapa kali oleh penjajah kerana perjuangannya, sehingga muncul sebagai tokoh politik yang terkenal di peringkat antarabangsa dan dikenali sebagai tokoh pejuang kemerdekaan yang digelar "Putera Terbesar Tanah Air."

Setelah beliau memimpin PAS pada akhir 1956, selain mengukuhkan organisasi PAS, beliau telah menggunakan Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS yang disampaikan pada 24 Ogos 1957 ini untuk mempertegaskan pegangan-pegangan PAS dalam menghadapi kemerdekaan. Beliau mempertegaskan bahawa seluruh perjuangan PAS adalah di atas cita-cita Islam yang berbentuk tiga segi iaitu bangsa, nusa dan agama, tetapi "dikembalikan kepada Allah semua urusan." Bagi memperkukuhkan cita-cita Islam ini, Dr Burhanuddin al-Helmy menggariskan tujuh strategi iaitu menerapkan ilmu pengetahuan, mengukuhkan sistem organisasi PAS, meningkatkan disiplin dan rasa tanggungjawab ahli-ahli, meningkatkan gerak kerja penerangan dan mubaligh kepada masyarakat, menggerakan Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS sebagai jentera perjuangan dan ahli-ahli mestilah berkorban dengan ikhlas dalam perjuangan Islam.

PAS, menurut Dr Burhanuddin al-Helmy adalah berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan penuh bagi Tanah Melayu. Kemerdekaan penuh menurut beliau ialah negara ini mesti berkebangsaan Melayu, diakui secara undang-undang bahawa orang Melayu adalah tuan punya negeri ini, bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini, Islam menjadi agama rasmi dan kerakyatan secara jus soli mestilah ditolak. Beliau menegaskan bahawa PAS tidak berbau komunis atau penjajah seperti yang dituduh oleh musuh-musuhnya, tetapi PAS berbau kebangsaan Melayu dengan cita-cita Islam. PAS adalah "ummatan wasatan" dan menjadi "khair ummah" kerana PAS tidak pro Blok Barat atau Blok Timur, tetapi PAS berpegang dengan al-Quran dan Sunnah. Untuk perjuangan ini, PAS menolak segala bentuk kekerasan dan paksaan dalam mendapatkan kemerdekaan, sebaliknya mendukung pendekatan demokrasi yang aman.

Mengulas tentang Perlembagaan Persekutuan, beliau berpendapat bahawa perlembagaan yang disusun oleh Suruhanjaya Reid gagal mencapai tujuan perjuangan PAS. Umno sendiri telah menjadi "menggunting dalam lipatan" yang diperalatkan oleh British sehingga bukan sagaja menggelap masa depan orang Melayu dan bahasa Melayu, tetapi juga telah merendahkan martabat Islam. Pada pandangan PAS, kemerdekaan yang akan dicapai pada 31 Ogos 1957 adalah kemerdekaan yang kosong kerana ia telah menafikan hak ketuanan Melayu dan ketertinggian Islam di negara ini.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
24 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 24/8/2016

Share on Myspace