Pemuda LDP, jangan masih berminda di takuk lama

HARAKAHDAILY | .

SAYA merujuk kepada kenyataan Setiausaha Pergerakan Pemuda Pusat Parti Liberal Demokratik (LDP), David Ong, yang meminta orang ramai khususnya di Sabah untuk memberi respon kepada kempen tandatangan menentang Rang undang-undang Akta 355 yang dibentangkan oleh ahli parlimen Marang, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang.

Kenyataan dan pandangan seumpama ini menunjukkan minda dan pemikiran pemuda LDP khususnya David Ong masih di takuk lama. Beliau harus memahami bahawa rang undang-undang tersebut dibentang berdasarkan saluran demokrasi dan tidak berlaku sebarang percanggahan dengan perlembagaan.

Manakala cadangan rang undang-undang tersebut hanyalah untuk menambah kuasa mahkamah syariah dan ia tidak  berkaitan langsung dengan mereka yang bukan Islam.

Pemuda PAS bimbang dengan kenyataan seumpama ini dan merasakan ia sesuatu yang amat merbahaya untuk masa depan negara.

Pemuda LDP harus memahami bahawa rang undang-undang ini belum lagi dibahaskan di Parlimen. Semua ahli parlimen yang telah dipilih oleh rakyat bebas untuk berbahas dan mengemukakan pandangan tertakluk kepada prosedur.

Pemuda PAS berharap supaya semua pihak tidak menimbulkan sebarang spekulasi jahat terhadap rang undang-undang tersebut kerana ia seolah-olah cuba untuk mencabul hak asasi dan manganggu urusan pentadbiran masyarakat Islam.

Setelah 53 tahun pembentukan Malaysia, sepatutnya minda dan pemikiran rakyat juga hendaklah lebih rasional.

Parti-parti politik khususnya bersifat tempatan sepatutnya lebih bersifat progresif membantu ke arah pembinaan negara bangsa yang lebih harmoni dan aman sejahtera sekaligus mengelakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh memecahbelah masyarakat.

ZULZAIM HILMEE BIN ABIDIN
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) – HARAKAHDAILY 25/8/2016

Share on Myspace