Bisu isu Syria adalah jenayah, kata Sheikh Al-Qurrah Daghi

HARAKAHDAILY | .

Setiausaha Agung Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Sheikh Dr Ali Al-Qurrah Daghi, baru-baru ini mengecam serangan kerajaan Rusia-Syria ke atas bandar Aleppo dan sekitarnya.

Serangan tersebut dilaporkan telah meragut puluhan nyawa serta mencederakan ramai orang termasuk warga emas, orang dewasa, para wanita dan kanak-kanak tidak bersalah, semata-mata demi kepentingan rejim yang tidak berperikemanusiaan.

Tambahnya lagi, sikap membisu dan berdiam diri masyarakat dunia kini terhadap kezaliman ini boleh dianggap sebagai jenayah yang tidak dapat dimaafkan dan menyalahi hak asasi manusia, memalukan serta mendatangkan kesan negatif kepada dunia.

Sheikh Ali Al-Qurrah Daghi juga menegaskan bahawa kezaliman manusia yang paling besar terhadap saudaranya adalah kezaliman membunuh sesama mereka, lapor laman web Kesatuan Ulamak Islam Sedunia - Asia.

Hal ini kerana manusia merupakan makhluk ciptaan Allah di atas muka bumi, dan tidak harus bagi manusia bahkan dilarang untuk bermusuhan sesama mereka kecuali dengan perintah Allah, bertepatan dengan apa yang ditetapkan sesuai dengan hukum syariat yang bersifat adil.

Menurutnya lagi, apa yang berlaku di Syria sejak beberapa tahun lalu kebelakangan ini tidak mempunyai kaitan dengan syariat suruhan Allah, tidak juga perjanjian dan undang-undang negara yang diiktiraf, selain tiada justifikasi terhadap mana-mana pihak dan pertubuhan negara khususnya negara Islam untuk sekadar menjadi saksi kekejaman yang dilakukan oleh tangan-tangan rejim Bashar terhadap rakyat Syria yang tidak berdosa.

Oleh itu, Sheikh Al-Qurrah Daghi menyeru dunia, negara dan bangsa supaya bersama-sama memberi tekanan kepada penceroboh yang bermaharajalela agar dapat menghentikan serangan kejam terhadap rakyat Syria.

Share on Myspace