Kesesakan di Masjidilharam makin ketara

ASLANI M | .

MAKKAH: Ibadat umrah dan haji bukan sahaja perlukan ilmu dan pengetahuan, namun keupayaan fizikal juga amat penting.

Setiap hari setiap jemaah perlu berulang alik ke Masjidilharam sekurang-kurangnya 8 km.

Jarak itu belum lagi diambil kira ibadat tawaf dan saie yang perlu disempurnakan lebih 4 km.

Bagaimanapun bagi yang ada kemampuan mereka boleh memilih menginap di hotel berhampiran Masjidilharam. Kosnya boleh mencecah ratusan ribu RM.

Selain terpaksa berjalan kaki jarak yang jauh, setiap jemaah haji diuji dengan kesesakan yang luar biasa.

Setiap kali menjelang waktu solat Dataran Masjidilharam begitu sendat. Kita boleh melihat deretan manusia memenuhi segenap ruang di jalan raya dan dataran.

Kesesakan memanjang sehingga ke pintu utama Madjidilharam. Dataran bukan sahaja menjadi tempat solat, sebaliknya ramai berbaring dan tidur di waktu malam.

Seorang pesara kerajaan dari Kota Bharu, Mohamad berkata pada peringkat awal agak rimas berdepan dengan suasana kesesakan di Masjidilharam dan Madinah, namun sekarang sudah biasa.

Katanya kita boleh menemui pelbagai bangsa dan warna kulit yang datang dari seluruh dunia.

"Sebelum ini kita jarang kita menemui orang Cina yang beragama Islam, namun di sini bilangan mereka begitu ramai.

"Kita kagum biar pun sudah berusia namun masih gagah berjalan malah lebih laju daripada kita," katanya.

Malam tadi mereka yang menunaikan umrah berdepan kesesakan agak teruk ketika tawaf dan saie.

Keadaan tambah sesak apabila petugas kebersihan masjid melakukan kerja-kerja mencuci lantai di kawasan Kaabah.

Seorang jemaah umrah dari Besut berkata sikap orang ramai yang berhenti berdoa berhampiran Hajaratul Aswab menyebabkan kesesakan ketika tawaf begitu ketara.

Menurutnya keadaan menjadi agak kelam kabut apabila jemaah dari Indonesia bergerak dalam kumpulan yang besar sehingga menghimpit orang lain.

"Sikap jemaah yang tawaf dan saie sambil membaca buku juga menghalang orang lain untuk bergerak lebih cepat," ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/8/2016

Share on Myspace