PRU14: Masih terlalu awal bincang agih kerusi

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan terlalu awal untuk mengadakan perbincangan mengenai pembahagian kerusi bagi dipertandingkan dalam PRU-14 sebagaimana dicadangkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk  Mustafa Ali berkata, PAS dan Bersatu sebaiknya terlebih dahulu membincangkan perkara yang berkaitan kerjasama sama ada Bersatu bersedia untuk duduk bersama-sama dengan Blok ke-3.

"Sebelum berbincang soal pembahagian kerusi, perlu bincang perkara yang berkaitan kerjasama. Rundingan mengenai pembahagian kerusi terlalu awal untuk dibincangkan," katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, Bersatu merupakan entiti tersendiri, bebas dan tidak terikat dengan mana-mana parti politik .

Namun tambah beliau, jika Bersatu terikat dengan Pakatan Harapan (PKR, PAN, DAP) ia agak sukar di dalam hal ini memandangkan DAP telah memutuskan hubungan dengan PAS, manakala PAN pula adalah mereka yang meninggalkan PAS.

"Antara tiga parti itu hanya PKR yang masih istiqamah untuk terus bekerjasama dengan PAS walaupun di sana-sini ada masalah yang timbul tetapi ia bukan perkara besar.

"Oleh sebab itu, kita mahu tengok dahulu macam mana hala tuju yang diambil oleh Bersatu dengan situasi yang ada pada hari ini," ujarnya ketika dihubungi.

Dalam masa yang sama, katanya, PAS perlu juga memahami hasrat dan hala tuju yang akan diambil oleh Bersatu.

Justeru katanya, PAS sentiasa mengambil  sikap terbuka untuk menjalinkan hubungan dengan semua pihak termasuk parti politik, NGO atau tokoh-tokoh individu yang mempunyai matlamat untuk membangunkan masyarakat dan negara Malaysia.

Mustafa turut menjelaskan bahawa beliau pernah mengadakan pertemuan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum Bersatu didaftarkan, di mana perbincangan menjurus kepada perkara-perkara umum sahaja.

"Selepas itu, belum ada pertemuan selanjutnya lagi, tetapi kita mempunyai sikap terbuka untuk berbincang," katanya.

Sebelum itu, Muhyiddin dalam sidang media Jawatankuasa Penaja Parti Bersatu menyatakan hasrat mahu berunding dengan PAS dan PKR mengenai pembahagian kerusi pada PRU-14.

Katanya, rundingan itu perlu bagi memastikan wujud pertandingan satu lawan satu menentang Barisan Nasional (BN) selepas menyedari bahawa Bersatu tidak boleh bersendirian dalam membentuk kerajaan. – HARAKAHDAILY 25/8/2016

Share on Myspace