Antara dadah dan rasuah: Apakah penawar terbaik?

NIK MOHAMAD ABDUH | .

KALANGAN belia, gejala penyalahgunaan dadah adalah berpunca daripada kesempitan hidup dan rasa putus asa yang teruk.

Sebaliknya, gejala rasuah dan jenayah kolar putih yang membarah di umbi kuasa dan menjalar di segenap peringkat pentadbiran kerajaan adalah berpunca daripada ketamakan, mengejar kemewahan dan hilangnya nilai integriti dan sifat amanah.

Penawar dan ubat sebenar bagi rasa keluh kesah menghadapi kesulitan hidup, rasa kekecewaan yang melampau, rasa tamak dan rakus mengejar kemewahan dan hilangnya rasa amanah dalam diri adalah agama dan taqwa kepada Allah.

Ia adalah penyakit-penyakit hati yang rawatannya mestilah rawatan langsung ke atas hati dan iman yang lemah.

Sebagaimana kita terus gagal menangani isu salah guna dadah dengan berkesan akibat kegagalan menerapkan nilai-nilai agama yang benar dan menyeluruh, begitulah halnya gejala rasuah di kalangan pemimpin politik dan kakitangan awam.

Nilai-nilai taqwa gagal diterapkan dengan berkesan malah dipandang ringan oleh pihak pemerintah sendiri yang dilihat paling terpalit dengan jenayah dan gejala ini yang lebih teruk kesannya ke atas pembangunan negara berbanding gejala salah guna dadah.

PAS menyeru kepada penyelesaian akar umbi dan sempurna. Islam adalah agama yang telah terpahat dalam di dalam jiwa umat.

Ia dibiarkan lumpuh dan terbengkalai tanpa diaktifkan dan dicergaskan oleh penganutnya sendiri. Itulah punca gejala buruk menyerang umat dengan begitu mudah. Itulah juga punca sukarnya keburukan itu dibuang daripada umat Islam.

Jika kita terus berkeras menolak peranan agama atau acuh tidak acuh dengan penyelesaian Islam, janganlah segan untuk menerima hakikat bahawa kita sendirilah yang menjadi punca gejala salah guna dadah dan rasuah terus membarah dan menyerang umat. – HARAKAHDAILY 26/8/2016

Share on Myspace