Semoga Tun M ikhlas mohon maaf pinda perlembagaan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) negeri Selangor percaya mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan permohonan maafnya secara ikhlas kerana bertindak meminda Perlembagaan Persekutuan selepas lebih 20 tahun dulu.

Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Badri Abdul Rahman berkata, permohonan maaf secara terbuka itu menampakkan keikhlasan beliau sebagai seorang bangsa yang bertanggungjawab terhadap raja dan tanah air tercinta.

"Perbuatan atau perilaku sebeginilah yang harus dicontohi oleh setiap pemimpin ahli politik dan individu di tanah air Malaysia yang dicintai

"Seperti kata pepatah 'bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan lautan mana yang tidak bergelora' begitu juga hidup kita sebagai insan di muka bumi am nya dan khusus di Malaysia," ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau juga tidak menolak rakyat negara ini masih menyanjung dan berpegang tinggi nilai budaya serta prinsip kehidupan seperti yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan termasuk prinsip rukun negara yang menyatakan kesetiaan kepada raja dan negara.

Justeru katanya, jelaslah bahawa begitu agungnya perlembagaan yang telah tertulis dan kata ucapan pepatah Melayu lama pernah menyebut 'raja dan rakyat berpisah tiada' sudah terbukti,

"Jika tiada raja, tiada negara dan rakyat akan hidup porak peranda, jadi kita harus kekalkan sistem berkenaan dan pulangkan kembali hak tersebut secara tersusun agar rakyat dapat merasakan kenyamanan dalam kehidupan.

"Buat apa dikurangkan sedangkan kita masih mempraktikkan. Saya juga pernah diajukan satu pertanyaan dari individu apakah yang diPertuan Agong dan Raja-raja Melayu tidak boleh membantu rakyat dan negara jika diperlukan," katanya.

Beliau yakin dan percaya masalah rakyat pasti akan mendapat tempat dan perhatian daripada Raja-raja Melayu, begitu juga dengan pemimpin negara agar mengambil semangat prinsip rukun negara nescaya segala masalah rakyat akan terbela dengan saksama.

Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf kerana meminda Perlembagaan Persekutuan yang membuat kelulusan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong tidak lagi menjadi keperluan untuk menjadikan suatu akta sebagai undang-undang.
 
“Saya ingin memohon maaf atas pindaan kepada perlembagaan itu, yang membuat kelulusan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong tidak lagi perlu untuk menjadikan suatu akta sebagai undang-undang," ujarnya di dalam blog beliau.

Pada tahun 1993, kerajaan yang diterajui Mahathir meluluskan pindaan perlembagaan untuk membolehkan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen dan Senat untuk menjadi undang-undang dalam tempoh 30 hari, tidak kira sama ada Yang di-Pertuan Agong memberikan perkenannya atau tidak.
 
Pada 17 Februari lalu, Majlis Raja-Raja meminta Rang Undang-Undang MKN diperhalusi, tetapi ini tidak dilakukan.

Kemudian, mengikut warta negara, Rang Undang-Undang MKN secara automatik diperkenankan pada hari berikutnya, pada 18 Februari, sepertimana pindaan yang dibuat oleh pentadbiran Mahathir itu.
 
Rang undang-undang itu telah diwartakan menjadi undang-undang pada bulan Jun, dan berkuat kuasa pada 1 Ogos lalu. – HARAKAHDAILY 26/8/2016

Share on Myspace