Alternative Riding Club bukan sekadar berkonvoi

HARAKAHDAILY | .

Sebut sahaja kelab motosikal, tentunya terbayangkan keseronokan berkonvoi di atas jalan raya bersama rakan-rakan motosikal yang lain. Berkonvoi ke tempat rekreasi, kenduri kahwin, menyertai perarakan Hari Kemerdekaan dan menziarahi rumah anak yatim adalah aktiviti yang biasa dilaksanakan oleh kebanyakkan kelab-kelab motosikal.

Namun bagi Alternative Riding Club (ARC), aktivitinya bukan sekadar berkonvoi. Di samping peluang menambah jaringan kenalan, ahli-ahli ARC juga berpeluang untuk belajar menunggang dan mengawal motosikal, mengikuti latihan kawalan trafik, latihan pengiring (escort), kemahiran asas menyelenggara motosikal dan pengetahuan membaik pulih kerosakan kecil yang biasa berlaku ketika menunggang motosikal.

Selain itu, pembinaan jati diri ahli ARC pula dibentuk melalui Usrah ARC yang diadakan berkala secara santai. Perbincangan mengenai aspek aqidah, ibadah, akhlak dan perkongsian pengetahuan motosikal dalam slot 'Klinik Motosikal' merupakan salah satu agenda yang dibincangkan dalam Usrah ARC.

Jika dilihat daripada sudut organisasi, ARC adalah kelab motosikal yang ditubuhkan di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), ketika era kepimpinan YB Ust Nasrudin Hassan Tantawi sebagai Ketua Pemuda PAS ketika itu. Dalam organisasi DPPM, ARC diletakkan di bawah pentadbiran Department of Arts Culture and Sport (DACS). Ketika ini, DACS dipimpin oleh Ir. Hj Khairil Nizam Khirudin yang juga merupakan Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia.

Pada dasarnya, tujuan penubuhan ARC adalah untuk mendekatkan anak muda yang mempunyai minat terhadap motosikal, kepada PAS dan perjuangannya. Selain itu, ARC yang bertemakan "We Ride For Charity" turut mengutamakan program berkebajikan kepada setiap lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik sebagai aktiviti terasnya.

ARC boleh dianggap sebagai salah satu kelab motosikal yang terbesar di Malaysia kerana mempunyai rangkaian di seluruh negara dengan ahli terkini berjumlah 2,094 orang. Ahlinya terdiri daripada pelbagai lapisan umur yang memiliki motosikal berkuasa rendah hingga yang berkuasa tinggi.

Dalam perkembangan terbaru, pihak Akademi Tarbiyah dan Lajnah Dakwah DPPM sedang menyiapkan 'Kit Tarbiyah ARC' sebagai garis panduan pelaksanaan Usrah ARC, satu kelainan yang ditonjolkan dalam ARC berbanding kelab-kelab motosikal lain.

Aspek keselamatan dan kebajikan ahli juga menjadi perkara yang diutamakan dalam ARC. Setiap ahlinya disyorkan untuk mencarum dalam SkimPAS yang berkonsepkan sistem takaful sebagai bantuan kewangan jika berlaku sebarang musibah ketika menunggang motosikal ataupun melakukan aktiviti harian. Dengan caruman hanya RM55 setahun, ahli ARC layak mendapat manfaat sehingga RM10,000 jika berlaku kematian atau kecacatan kekal akibat kemalangan, selain elaun perbelanjaan perubatan serta elaun harian wad hospital.

ARC yang mempunyai seragam kemeja T hijau lengan panjang kini semakin menarik minat tokoh anak muda apabila turut disertai oleh jaguh moto GP terkenal dunia dari Malaysia seperti Khairul Idham Pawi dan bintang bola sepak Pulau Pinang yang mendapat jolokan Roberto Carlos Malaysia, Sdr Faiz Subri.

Memetik ucapan YB Ust Nik Muhammad Abduh Ketua Pemuda PAS Malaysia di dalam Gathering ARC Malaysia kali kelima di Perlis tahun lalu, "Dalam setiap bidang ada pendakwahnya tersendiri yang berdakwah kepada kelompok bidangnya. Di masjid ada para ustaz, di sekolah ada para guru, di atas jalan raya, ARClah yang menjadi pendakwahnya, mempamerkan akhlak dan adab yang mulia kepada pengguna jalan raya lain".

Bagi yang ingin mengenali ARC dengan lebih dekat, ikuti Gathering ARC Malaysia kali keenam yang akan diadakan di Port Dickson pada 2-3 September 2016 kelak. Konvoi, santai bersama selebriti serta street dakwah adalah antara aktiviti menarik dalam gathering kali ini.

Ayuh bersama kami merasai pengalaman dan keseronokan dalam ARC. ARC meluaskan kenalan, menambah pengalaman, membentuk keinsanan dan menabur amal kebajikan. - HARAKAHDAILY 26/8/2016

Penulis ialah Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Share on Myspace