Jemaah haji sedar hilang wang selepas bahu dipeluk

ASLANI M | .

MAKKAH: Kehadiran jutaan manusia di sini memberi peluang pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil peluang.

Kesesakan manusia sehingga terpaksa berhimpit-himpit dalam perjalanan ke masjid, mendedahkan jemaah haji terhadap sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Kesesakan begitu ketara berlaku di sekitar Safwan dan Clock Tower serta dataran burung merpati apabila jemaah bertembung dari arah Al Misfalah dan jalan di sekitarnya.

Keadaan tambah sesak apabila banyak pihak berniaga di atas jalan sehingga mengganggu kelancaran perjalanan.

Tidak kurang juga ada pihak meminta sedekah daripada orang ramai.

Ada antara mereka terutamanya budak-budak dipercayai kaum kulit hitam berlakon seperti tangan kudung.

Mereka hanya menampakkan siku dan menyembunyikan tangan di dalam lengan baju.

Budak-budak terbabit menyanyikan lagu Adis Ababa dan Ali Baba sambil menagih simpati orang ramai.

Namun mereka cukup marah apabila ada pihak memegang tangannya yang disembunyikan di sebalik lengan baju.

Di tengah-tengah kekalutan itu semalam ada jemaah haji dari Malaysia difahamkan diragut pihak tidak bertanggungjawab.

Jemaah haji wanita tersebut difahamkan dalam perjalanan ke masjid didekati wanita berkulit hitam.

Menurut sumber selepas dipeluk di bahu beliau baru menyedari kehilangan wang yang disimpan dalam beg sangkut.

Katanya, wanita terbabit yang tinggal di Hotel Land Premium kehilangan SR600 yang disimpan dalam beg terbabit. - HARAKAHDAILY 27/8/2016

Share on Myspace