Menang Sarawak, Terengganu tergadai

HARAKAHDAILY | .

PAS Terengganu menggesa kerajaan Umno Negeri Terengganu memandang serius hasil pertemuan di antara Ketua Menteri Sarawak ,Tan Sri Adenan Satem, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta CEO Petronas Datuk Wan Zulkifli Wan Ariffin seperti yang dilaporkan di akhbar-akhbar, semalam.

Perbincangan mereka dikatakan telah membuahkan tujuh hasil yang sangat baik bagi rakyat Sarawak.

PAS melihat kesungguhan kerajaan Negeri Sarawak melebihi kerajaan negeri Terengganu, dalam melindungi hasil mahsul negeri mereka agar disalurkan kembali, demi kepentingan rakyat mereka.

Sepatutnya ia diambil pedoman oleh kerajaan Umno Negeri Terengganu bagi memberikan ruang yang luas kepada anak negeri Terengganu mengecap semaksimum mungkin hasil sumber asli kurniaan Allah ini.

Sebaliknya, pemimpin Umno bukan sahaja tidak mempertahankan hak royalti bahkan menggadai maruah dan menyerahkan medan minyak Bertam PM 307 kepada kerajaan Persekutuan.

Sedang pada masa yang sama, perangkaan kemiskinan daripada Maidam menyatakan Terengganu mempunyai seramai 35,554 orang miskin dan juga mencatatkan kadar pengangguran yang kedua tertinggi iaitu sebanyak 4.5 peratus, walaupun bajet tahunannya sentiasa melebihi RM2 bilion.

Oleh itu, PAS Terengganu menuntut janji Umno Terengganu suatu masa dahulu, bahawa kerajaan akan menyediakan peluang pekerjaan kepada seramai lebih 41,000 rakyat Terengganu.

Adalah ‘tidak jantan’ sekiranya kerajaan Terengganu hanya berpeluk tubuh lalu terus membiarkan rakyat ‘melopong dan menghitung’ kehadiran warga asing di tapak petroleum Terengganu tanpa menentukan pendirian atau membuat apa-apa tindakan, untuk menjamin pekerjaan rakyat Terengganu di bumi kaya Darul Iman ini!

Seluruh rakyat sedang memerhatikan ‘kebaculan’ pentadbiran Umno memerintah sekarang yang  telah meninggalkan kesan yang besar kepada rakyat Terengganu.

Bukan sahaja pemimpinan Umno negeri yang ‘berahi’ bergaduh sesama sendiri, bahkan rakyat dijadikan musuh dengan menyekat peruntukan dan bantuan, hatta menghadap Tuanku Sultan sekalipun pada 2004, mereka mempersembahkan sembah derhaka dengan mengangkat kain rentang ‘natang’.

Akibatnya rakyat merana di tengah-tengah pemimpin Umno terus meraih laba, lalu berpolitik dengan melampau sehingga melupakan tanggungjawab mereka kepada rakyat dan sanggup menyerahkan kekayaan negeri untuk diagihkan kepada negeri-negeri lain demi untuk nama dan kedudukan mereka agar tidak ditendang oleh ketua mereka, walaupun rakyat terbiar.

Bagi PAS, Umno tidak ubah seperti watak orang kaya dalam filem Ali Baba Bujang Lapok arahan P. Ramlee yang sanggup memanggil penyamun untuk menyamun rumah mereka sendiri sehingga dia sendiri menjadi pengemis, ‘menadah tempurung’ menunggu wang ehsan. Terpaksa meminta peruntukan, merayu dikembalikan wang hak milik rakyat negeri, yang telah digunakan kerajaan pusat.

Kedayusan pimpinan Umno Negeri Terengganu ini adalah salah satu daripada episod malang yang menimpa seluruh rakyat Terengganu, sehingga suatu ketika dahulu, Universiti Teknologi Petronas telah 'dilarikan' ke Perak.

Taman Ilmu di Besut terbengkalai begitu sahaja. Bahkan nasib sesetengah pelajar pintar Terengganu seolah-seolah diabaikan kerana akibat kerajaan Umno Terengganu kekurangan wang, maka mereka menjadi mangsa penindasan kewangan, tidak dihantar ke luar negara pada tahun ini, dan banyak lagi senarai-senarai perilaku hodoh serta pembaziran terhadap wang rakyat oleh Umno Terengganu.

Justeru itu, PAS menyeru kepada seluruh rakyat Terengganu agar bangkit mempertahankan ‘harga diri dan maruah negeri’ yang digadai Umno, sebagaimana yang telah dilakukan Sarawak dalam mempertahankan hak negeri mereka. Langkah ini boleh dilaksanakan dengan menyingkirkan Umno Terengganu dari tampuk pemerintahan dan PAS sebagai kerajaan menunggu sudah bersedia dan Insya Allah, berusaha sedaya mungkin bagi mendapatkan kembali hak rakyat Terengganu yang dirampas itu.

Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
25 Zulqaedah 1437 / 28 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 28/8/2016

Share on Myspace